
ATHENS: Ribut kuat membadai kawasan tengah Mediterranean menyebabkan gangguan besar di Laut Aegean dan di Crete, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di banyak kawasan, termasuk Athens, melalui mesej teks supaya “duduk di rumah jika boleh.”
Ahli meteorologi memberi amaran yang hujan lebat dijangka berlaku dalam beberapa jam akan datang sehingga tengah malam Rabu, dengan jumlah hujan yang setara dengan taburan hujan selama tiga bulan musim sejuk.
Di Crete, selain angin ribut, terdapat tahap zarah terampai yang sangat tinggi akibat debu dari Sahara.
Menurut pejabat meteorologi, kepekatan melebihi 1,000 mikrogram bagi setiap meter padu udara direkodkan di beberapa kawasan. Keadaan ini turut menjejaskan trafik udara, dengan radio Greece melaporkan banyak penerbangan ke dan dari Crete dibatalkan atau dialihkan.
Di kepulauan Cyclades dan Dodecanese seperti Mykonos, Paros, Rhodes dan Kos semua sekolah ditutup. Sesi pembelajaran dijalankan secara dalam talian, menurut laporan radio Greece.
Banyak perkhidmatan feri turut digantung kerana angin kencang yang membahayakan pelayaran.
Kelajuan angin sehingga 120 kilometer sejam direkodkan di selatan Aegean, manakala ombak setinggi lebih enam meter dilaporkan di bahagian tenggara Aegean, menurut media tempatan.
Ahli meteorologi menjangkakan ribut ini akan berterusan sehingga lewat petang Khamis.- Bernama-dpa