TERDAPAT pelbagai teori budaya tinggi yang dapat kita terapkan dalam pemahaman terhadap apresiasi kesenian, kebudayaan dan beberapa teori berkaitan masyarakat.
Teori dan estetika Kant misalnya menyatakan bahawa penilaian estetika adalah pengalaman subjektif tetapi universal.
Menurut Kant, budaya tinggi melibatkan penilaian seni berdasarkan keindahan yang bebas daripada tujuan praktikal, dengan fokus pada ‘penghakiman rasa’ yang tidak terikat pada faedah atau kepentingan tertentu.
Ketika seseorang melihat lukisan seperti “Mona Lisa” karya Leonardo da Vinci, akan berasa tertarik oleh ekspresi wajah Mona Lisa dan keseimbangan komposisi warna dan bentuk dalam lukisan itu.
Mereka tidak tertarik pada nilai ekonominya dalam lukisan tersebut, tetapi pada keindahannya yang membuat mereka berasa terpesona.
Hal ini sesuai dengan konsep Kant tentang penilaian yang bebas daripada kepentingan dan keindahan sebagai “tujuan tanpa tujuan.” (purposiveness without purpose).
KONSEP KEINDAHAN
Apabila seseorang berdiri di tepi tebing dan melihat ke laut yang luas atau di puncak gunung dengan pemandangan indah, sering kali mengalam iperasaan keindahan yang mendalam atau bahkan sublim (menakjubkan).
Mereka berasa hormat atau kagum yang mendalam tanpa memikirkan nilai praktis pemandangan tersebut, melainkan hanya berasa kagumakan kebesaran alam.
Pengalaman ini mencerminkan konsep Kant tentang sublim (ketakjuban), iaitu berasa tidak terungkap oleh sesuatu yang melampaui kita.
Apabila muzik simfoni Beethoven, seperti Symphony No. 9 yang dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal, tetapi untuk keindahan seni itu sendiri dan ini dihayati atas dasar penghakiman estetik bebas daripada kegunaan komersial.
Sama juga, pameran seni visual di Balai Seni Negara yang menekankan keindahan karya seni moden tanpa tujuan komersial mencerminkan penghargaan terhadap seni yang melampaui faedah material.
TEORI KEBUDAYAAN
Matthew Arnold seorang penyair dan pengkritik budaya percaya bahawa budaya adalah hubungan dengan hal-hal terbaik yang pernah difikirkan dan diungkapkan di dunia, yang beliau anggap penting untuk membina negara demokrasi yang kuat.
Baginya, budaya melibatkan nilai-nilai seperti keindahan, kecerdasan, dan kesempurnaan, yang dipercayai wujud dalam bentuk sama pada semua masyarakat.
Beliau juga berpendapat bahawa jika lebih ramai orang berkongsi dan berusaha untuk mencapai nilai-nilai ini, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik.
Arnold berhujah bahawa budaya tinggi adalah penawar kepada kekacauan sosial dan politik, dan ia bertujuan mendidik masyarakat dalam etika, estetik yang mendalam dan akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Program pembelajaran budaya tinggi seperti kursus sastera klasik yang mendalam mengenai karyaShakespeare bertujuan memperbaiki kualiti hidup individu melalui pembelajaran yang mendalam dan kecemerlangan moral.
Kursus sastera Melayu klasik di universiti yang mempelajari karya seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu bertujuan meningkatkan moral dan kualiti intelektual pelajar dengan mendalami sastera sebagai khazanah berharga.
TEORI BUDAYA FRANKFURT SCHOOL
Ahli falsafah dari Mazhab Frankfurt, seperti Theodor Adorno dan Max Horkheimer, melihat budaya tinggi sebagai alat untuk mencipta kesedaran kritis.
Mereka berpendapat bahawa budaya tinggi boleh membantu melawan budaya massa yang komersial dan kapitalistik, yang mereka lihat sebagai alat untuk menundukkan rakyat kepada norma-norma ideologi dominan.
Adorno terutamanya membezakan antara “kebudayaan massa” dan “kebudayaan tinggi,” dan menggangap budaya tinggi dianggap lebih autonomi, reflektif dan mendalam.
Teori Budaya Frankfurt School menekankan bahawa media massa komersial cenderung menggalakkan citarasa budaya rendah yang tidak mendorong pemikiran kritis, sebaliknya hanya memenuhi keperluan hiburan semata-mata.
Televisyen dan media massa sering dipandang sebagai alat untuk menyebarkan budaya popular yang dangkal, sementara budaya tinggi seperti pementasan teater Shakespeare mampu memupuk kesedaran kritis dalam kalangan masyarakat.
Contohnya, pengaruh televisyen dan media komersial seringkali dikaitkan dengan penurunan kualiti budaya dan kecenderungan masyarakat kepada hiburan yang ringan.
Sebaliknya, pementasan teater berpotensi membuka ruang pemikiran yang lebih mendalam.
Di Malaysia, aplikasi teori ini dapat dilihat dalam pementasan teater seperti P. Ramlee The Musical di Istana Budaya.
Pementasan ini bukan sahaja mengangkat nilai seni dan budaya tinggi tetapi juga mengajak penonton menilai secara kritis kandungan serta mesej yang disampaikan dengan lebih mendalam berbanding hiburan televisyen komersial.
Ia berfungsi sebagai platform untuk menonjolkan karya seni yang lebih bernilai dan mencabar persepsi serta emosi penonton, di luar kerangka hiburan pasaran.
Di Indonesia, contoh serupa dapat dilihat melalui program seni teater di Taman Ismail Marzuki, yang sering mementaskan teater avant-garde.
Pementasan-pementasan ini dijadikan sebagai bentuk kesedaran kritis terhadap pengaruh budaya massa yang komersial.
Seni teater digunakan untuk mengajak masyarakat merenung dan mempertanyakan kembali norma-norma budaya popular.
Melalui pendekatan yang kritis ini, Taman Ismail Marzuki menyumbang kepada perkembangan budaya tinggi yang mendalam dan bersifat reflektif, menentang kecenderungan hiburan yang hanya bersifat permukaan.
INTERPRETASI
Perbincangan ini mengemukakan pendekatan budaya tinggi dalam penghargaan terhadap seni dan budaya, serta kesannya dalam masyarakat.
Aspek ini dapat dilihat dalam konteks teori estetik manakala Matthew Arnold pula melihat budaya tinggi sebagai alat penting dalam pembentukan negara demokratik yang berdaya tahan dan menyarankan budaya dengan nilai moral dan estetika sebagai penyelesaian terhadap isu sosial dan konflik, dengan memperkenalkan karya sastera klasik sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti hidup dan intelektual masyarakat.
Begitu juga pandangan Mazhab Frankfurt oleh pemikir seperti Theodor Adorno dan Max Horkheimer menekankan bahawa budaya tinggi berfungsi sebagai medium yang ketika itu digunakan untuk menimbulkan kesedaran kritis yang menentang pengaruh budaya massa yang cetek dan berorientasi komersial.
Maka berlakulah seni muzik khusus seperti pementasan P. Ramlee The Musical sebagai wadah untuk budaya tinggi, yang mengajak penonton menilai mesej seni yang lebih bermakna daripada hiburan komersial biasa.
Secara keseluruhannya, esei ini menunjukkan penerapan budaya tinggi sebagai alat penting dalam menggalakkan pemikiran reflektif, memperkukuh nilai moral dan memperkayakan jiwa masyarakat dalam menghadapi cabaran komersialisme budaya.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).