

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah menghantar Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) ke Matu berikutan penemuan seekor harimau dahan Borneo.
Pengurus Besar merangkap Kontroler Hidupan Liar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, berkata pasukan SWAT itu bagi tujuan menilai situasi setelah tularnya video mengenai kejadian itu di laman facebook.
“Namun begitu, kemunculan harimau dahan pada waktu siang dan di kawasan berhampiran manusia berkemungkinan besar berpunca daripada gangguan habitat atau kekurangan sumber makanan di kawasan hutan sekitarnya.
“SFC memandang serius perkara ini dan telah menghantar pasukan SWAT untuk menilai situasi yang telah tular di laman facebook itu.
“Penduduk sekitar dinasihatkan agar lebih berwaspada, mengelakkan sebarang interaksi secara dekat, dan segera melaporkan sebarang kemunculan haiwan liar kepada pihak berkuasa.
“Hidupan liar adalah aset yang tidak ternilai, dan perlindungannya adalah tanggungjawab bersama.
“Pihak SFC akan mengemaskini maklumat terperinci penemuan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abang Arabi berkata penemuan itu juga merupakan satu petunjuk penting bahawa Sarawak masih menjadi habitat semula jadi kepada spesies haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Kejadian ini katanya, membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan Sarawak melalui SFC dalam memelihara dan melindungi biodiversiti negeri ini sedang membuahkan hasil.
Terdahulu, Utusan Sarawak melaporkan bahawa sekeluarga yang melalui kawasan Matu dikejutkan dengan penampakan seekor harimau dahan Borneo (Bornean clouded leopard) yang sedang memakan sisa di tepi jalan.
Kejadian itu sempat dirakam oleh salah seorang ahli keluarga terbabit, dan video tersebut kini tular di media sosial.
Difahamkan harimau dahan itu berada di Jalan Bruan di Matu ke arah pangkalan feri Igan.
Menurut hantaran laman tersebut, haiwan liar berkenaan kelihatan jinak dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku agresif ketika dirakam, meskipun berada dalam jarak yang agak dekat dengan kenderaan mereka.
“Harimau dahan itu nampaknya kelaparan. Mungkin ia keluar pada siang hari kerana habitatnya yang semakin terjejas,” kata pemilik video yang merakam penemuan itu.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan dari mana asal haiwan liar itu, dan bagaimana ia boleh berada di kawasan tersebut.
Difahamkan juga, harimau dahan ini juga pernah dilihat di Jalan Kampung Tian ke arah Kuala Matu (laluan jalan raya belakang) terutama pada waktu malam dan laluan itu pula gelap tanpa tiang lampu elektrik. – Utusan Sarawak.