KUCHING: Bangkai ikan paus yang terdampar di Batang Lupar tiga minggu lalu, disahkan jenis Paus Sei atau nama saintifik Balaenoptera borealis setelah ujian DNA.
Menurut Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, pengesahan spesies ini dilakukan oleh Seksyen Forensik dan Sumber Genetik Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Biodiversiti SFC dengan rujukan kepada pangkalan data ‘National Center for Biotechnology Information’.
Katanya, penemuan itu mencatat sejarah sebagai rekod pertama spesies Paus Sei di Sarawak kerana sebelum ini, spesies paus besar lain seperti Paus Bryde’s, Paus Sperm, Paus Fin, Paus Minke, dan Paus Humpback telah didokumentasikan.
Tambahan Paus Sei meningkatkan jumlah spesies mamalia marin yang direkodkan di Sarawak kepada 25, mencerminkan ekosistem laut yang sihat dan terpelihara.
Bangkai paus tersebut pertama kali dilaporkan penduduk tempatan pada 19 November berhampiran Pulau Seduku sebelum ditemui empat hari kemudian oleh pasukan SFC, terdampar dalam keadaan reput di batang besi tapak pembinaan Jambatan Triso.
Abang Arabi turut menggesa kerjasama masyarakat dalam melaporkan sebarang aktiviti pemburuan atau perdagangan hidupan liar yang dilindungi.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline SFC di Kuching (019-8859996), Sibu (084-349455), Bintulu (086-339842), dan Miri (019-8290994).
Penemuan ini menambah signifikan kepada usaha pemuliharaan biodiversiti Sarawak, memastikan generasi akan datang terus mewarisi keindahan alam semula jadi negeri ini.