LIMBANG: Penduduk di utara negeri ini mahu Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi fokus dalam isu ekonomi, sosial serrta membanteras rasuah.
Seorang peniaga Jessica Phang 40-an (gambar) berkata besar harapan rakyat Sarawak terutama di Bahagian Limbang supaya ekonomi dapat dipulihkan.
“Memang saya mahu ekonomi kita stabil dan kembali pulih. Kita juga berharap nilai mata wang (ringgit) kita kembali naik… jadi taklah barang barang keperluan mahal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jessica juga berharap Anwar bersama barisan Kabinet yang akan dilantik nanti terdiri daripada individu ikhlas dalam membantu negara memerangi rasuah hingga ke akar umbi sambil memperkasa perkhidmatan awam.
“Kita tidak mahu gejala rasuah ini terus bermaharaja lela kerana ia akan merosakkan masyarakat dan negara,”katanya.
Beliau juga mahu rakyat memberi masa kepada Anwar untuk memulihkan negara.
Katanya, menjadi harapan rakyat agar Anwar dan barisan kabinet yang dibentuk nanti lebih cakna kepada rakyat dan berjuang untuk rakyat.
Dari segi bantuan kerajaan pula kata Jessica, kerajaan perpaduan nanti perlu melihat golongan yang benar-benar dibantu agar bantuan dapat sampai kepada golongan sasar.
Sementara itu, Omarali Matjais 60-an (gambar) dari Lawas optimis kerajaan perpaduan akan terus mengangkat negara ke landasan terbaik tanpa meminggirkan rakyat.
Katanya, kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik yang berseteru dengan tujuan, dalam kontek Malaysia masa kini, tiada satu parti yang mempunyai sokongan majoriti dan menangani krisis ekonomi yang dijangka berlaku mulai 2023.
“Maka, pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang positif dari segi melonjakan sosioekonomi yang tenat sejak merebaknya COVID-19,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS