

SELANGAU: Penduduk di kawasan Ulu Mukah kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selamat dan kukuh selepas siapnya pembinaan Jambatan Besi Sungai Dap, menggantikan jambatan kayu balak lama yang runtuh sebelum ini.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan Perkasa Bakti Engineering sebagai kontraktor pelaksana itu menelan kos keseluruhan RM465,000.
Kerja pembinaan bermula pada 11 Mac 2024 dan siap sepenuhnya pada 9 Oktober 2025, selepas mengambil kira pelanjutan tempoh pelaksanaan.
Jambatan jenis RSJ (Steel I-Beam) sepanjang 34 meter dan lebar 3.65 meter itu mampu menampung beban sehingga 5 tan, sekali gus memulihkan semula jaringan penghubung utama antara beberapa rumah di kawasan berkenaan.
Selain pembinaan jambatan baharu, skop projek turut melibatkan kerja tanah dan pemasangan papan tanda keselamatan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, pembinaan jambatan tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
“Pembinaan jambatan besi di Ng Dap, Ulu Mukah telah siap sepenuhnya. Sebelum ini, jambatan kayu balak yang digunakan penduduk telah runtuh, menyebabkan terputusnya hubungan antara beberapa rumah di kawasan tersebut,” katanya.
Gira menjelaskan, projek itu dibiayai melalui peruntukan dana bencana kerajaan Sarawak, bagi memastikan hubungan jalan utama dapat dipulihkan segera demi kemudahan penduduk.
Katanya, jambatan baharu itu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah mempertingkatkan akses ke sekolah, pusat kesihatan dan pasaran hasil pertanian.
“Inisiatif ini melambangkan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak untuk terus memperkukuh infrastruktur luar bandar agar rakyat menikmati pembangunan yang seimbang dan inklusif,” katanya.
Oleh TARANI LANTING