
SARIKEI: Polis mengesahkan telah menahan dua lelaki yang ditangkap oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa pada malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintendan Aswandy Anis dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu dikesan selepas satu hantaran tular di media sosial Facebook sekitar 11.00 malam pada 22 Oktober 2025.
“Kedua-dua lelaki terbabit telah diserahkan kepada pihak polis dan dirujuk ke Hospital Sarikei kerana mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta latar belakang kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
“Tindakan mengeluarkan kenyataan palsu boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.