SIMANGGANG: Penduduk terutama anak muda serta belia di Taman Harmoni kini dapat melaksanakan kegiatan sukan setelah wakil rakyat berusaha mendapatkan sebuah gelanggang futsal di taman perumahan itu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Harmoni, Hajimalie Morshidi ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis atas usaha merealisasikan hasrat belia untuk memiliki sebuah gelanggang futsal di taman perumahan itu.
“Mewakili penduduk setempat saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada wakil rakyat (Datuk Francis Harden) atas kegigihan dan sokongan beliau sehingga terbinanya gelanggang futsal di sini.
“Akhirnya impian anak-anak muda dan penduduk setempat untuk memiliki kemudahan sukan seperti gelanggang futsal kini menjadi realiti setelah ia siap seperti yang disaksikan hari ini.
“Saya berharap juga golongan belia dan beliawanis mahupun penduduk setempat dapat menjaga dan menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya bagi memastikan infra ini dapat digunakan lebih lama untuk semua,” katanya.
Hajimalie berkata, dengan ada gelanggang berkenaan, remaja dan belia diharap tidak lagi melepak dan melakukan aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan gejala sosial berikutan ketiadaan tempat untuk mereka beriadah.
Dalam pada itu, projek pembinaan gelanggang futsal Taman Harmoni itu telah siap dibina baru-baru ini yang menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman menerusi kontraktor Syarikat Cahaya Emas.
Sementara itu, Hajimalie telah hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan futsal anjuran Jiran Muda KRT Taman Harmoni yang diketuai Mohd Izzad Amirul. Pertandingan tersebut melibatkan empat pasukan.
“Tahniah dan syabas buat semua pasukan dan tahniah juga buat KRT Taman Harmoni atas penganjuran kali pertama pertandingan futsal di gelanggang baharu Taman Harmoni,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN