
KUCHING: Penduduk Taman Desa Wira menyuarakan sokongan agar projek tebatan banjir di kawasan berkenaan diteruskan kerana ia penting bagi melindungi penduduk daripada masalah banjir kilat yang kerap berlaku.
Tuai Rumah Nichol Nyambang, yang menetap di Taman Desa Wira sejak November 1988, berkata pembangunan pesat di kawasan Batu Kawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyumbang kepada masalah sistem saliran, sekali gus memburukkan lagi kejadian banjir di kawasan berhampiran.
Beliau berkata kawasan seperti Lorong 5 dan Kampung Sinar Budi Baru sering dilanda banjir kilat ketika hujan lebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sungai berhampiran tidak mampu menampung jumlah air yang banyak serta menyalurkannya dengan baik ke Sungai Sarawak.
“Akibatnya, air melimpah ke kawasan rendah dan menyebabkan banjir kilat. Banyak rumah penduduk ditenggelami air dan mereka terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya dalam satu kenyataan.
Nichol berkata kerajaan telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kajian bagi mencari penyelesaian untuk mengurangkan masalah banjir tersebut.
Susulan kajian yang dijalankan, katanya kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan struktur tebatan banjir. Menurutnya, projek itu direalisasikan hasil usaha serta keprihatinan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Walaupun terdapat usaha daripada pihak tertentu untuk menghalang projek berkenaan, Nichol berkata pembinaan tersebut wajar diteruskan demi kepentingan penduduk.
Beliau berkata penduduk di kawasan terlibat sebulat suara menyokong projek itu kerana ia dapat mengurangkan kejadian banjir kilat ketika hujan lebat, sekali gus memberi keselesaan dan ketenangan kepada penduduk serta mengelakkan kerosakan harta benda mereka.
Tambahnya, projek tersebut juga dapat mengurangkan keperluan penduduk berpindah ke PPS selain meningkatkan keselamatan daripada ancaman hidupan liar dari sungai berhampiran.
“Sebagai Tuai Rumah Taman Desa Wira, walaupun kawasan saya jarang dinaiki air, saya menyokong sepenuhnya agar projek tebatan banjir ini diteruskan demi kepentingan komuniti,” katanya.
Oleh Connie Chieng