
MARUDI: Rumah Panjang Data Bila di Ulu Baram bakal dibangunkan mengikut syarat yang dipersetujui antara syarikat pembalakan dan pemimpin kaum Penan tempatan dalam kawasan pembalakan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, Kampung Data Bila merupakan penempatan kaum Penan di Ulu Baram.
Katanya rumah panjang baharu ini akan mengubah cara hidup mereka dengan lebih selesa dan terjamin pada masa akan datang.
“Lesen pembalakan di kawasan Data Bila dan kampung Penan di Ulu Selaan seperti Long Ajeng, Long Murung, Long Lemam, Ba’ Muboi, Sebatue, Data Bila, Long Sait, Long Kerong, Long Spigen, Pengaran Iman, Pengaran Kalian, Long Benali, Long Kepang, Long Main dan Long Lellang telah diluluskan kerajaan dengan persetujuan Ketua-Ketua Kaum dari-kampung tersebut,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN )menjelaskan, selepas rumah panjang ini dibangunkan, syarikat pembalakan juga akan membuka tapak pertanian untuk penduduk untuk bercucuk tanam demi untuk meningkatkan ekonomi dan menaik taraf hidup mereka.
Malah katanya mereka juga boleh menternak ayam, khinzir dan binatang-binatang lain daripada mereka memburu di hutan
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa projek pembinaan rumah panjang baharu dan kawasan pembangunan pertanian ini akan juga dubangunkan di semua kampung dalam kawasan pembalakan ini.
Selain itu, Gerawat menekankan bahawa kerajaan mempunyai perancangan untuk membina jalan di setiap kampung dalam kawasan Baram termasuk jalan utama ke Long Bangga dan Bario ke Kampung Data Bila, Pengaran Iman, Pengaran Kalian terus ke Long Lellang, Long Main, Long Kepang, Ba Keramuh dan Long Sabai.
“Jalan-jalan ke kampung lain seperti Na Ajang, Long Lamam, Long Murung juga akan dibina,” tambahnya.
Katanya selepas syarikat pembalakan membuka jalan-jalan ini kerajaan akan mengambil alih untuk menaik taraf jalan tersebut, seperti jalan ke Ba Muboi yang sekarang sedang dinaik taraf.
Ujar Gerawat kerajaan mempungai perancangan yang baik untuk masa depan kaum Penan termasuk pembangunan jalan dan pembangunan ekonomi kampung.
Justeru, beliau berharap masyarakat Penan perlu meneruskan sokongan kepada kerajaan demi meneruskan agenda pembanguana di kawasan mereka.
Turut hadir Residen Bahagian Bintulu merangkap Presiden Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak Datu Nurak Keti dan Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda.
Oleh Jiku Juguong