SIBU: Penduduk Sibu dipuji kerana memberi kerjasama tampil untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr. Annuar Rapa’ee memuji sikap penduduk Sibu tersebut dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Menurut Annuar, bermula 9.00 pagi semalam Stadium Tertutup Sibu mula dibuka untuk orang awam menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha membendung penularan wabak itu di Sibu yang dikaitkan dengan Kluster Pasai.
Justeru, beliau berasa sukacita kerana usaha tersebut mendapat kerjasama baik daripada penduduk Sibu.
“Apa yang penting selepas ujian calitan, mereka perlu menjalani kuarantin diri sehingga keputusan ujian diperoleh.
“Sama-sama kita doakan petugas barisan hadapan kita dilindungi dan diberikan kekuatan untuk mengharungi hari mencabar dalam kerjaya mereka,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini seramai 2,104 penduduk Sibu menjalani ujian saringan Covid-19, iaitu tidak termasuk mereka yang membuat ujian di Stadium Tertutup Sibu, semalam.
“Jauh di hati kami, kami sedih dengan keadaan di Sibu sekarang,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Stadium Tertutup Sibu dan Klinik Kesihatan Lanang di Sibu semalam, mendapati orang ramai masih berbaris panjang bagi menjalani ujian saringan Covid-19.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr. Teh Jo Hun mengatakan bahawa ujian saringan di stadium akan dilakukan setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Oleh NURZILLA MOHAMAD