
SARIKEI: Penduduk tiga penempatan di Seberang Sarikei bakal menikmati perhubungan yang lebih baik apabila kerajaan akan membina jalan raya dan menyediakan perkhidmatan feri untuk kegunaan penduduk di kawasan itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata jalan raya yang akan dibina itu tidak sekadar berfungsi sebagai laluan penghubung, malah turut dirancang menjadi ban bagi menyokong sistem perparitan moden yang dapat memajukan sektor pertanian setempat.
Tiga penempatan terlibat adalah Parit Bugis, Bukit Huang dan Muara Payang yang masing-masing dihuni oleh komuniti Melayu-Bugis, Cina dan Iban.
“Jalan ini akan berfungsi sebagai ban untuk membantu penduduk menjana pendapatan melalui pertanian.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) juga sudah peruntukan bagi pembinaan primeter ban untuk keseluruhan kawasan.
“Langkah ini dibuat agar taman agro yang dicadangkan menelan kos RM250 juta dapat dilaksanakan dalam masa yang sama,” katanya.
Len Talif berkata demikian kepada media selepas menyerahkan cek pampasan tanah Projek Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang Road In Kampung Bugis/Bukit Huang/Muara Payang Scheme bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC), semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu, berkata perkhidmatan feri akan turut disediakan bagi memudahkan mobiliti penduduk ke bandar Sarikei, mempercepatkan urusan logistik dan pemasaran hasil pertanian ke pasaran lebih luas.
Katanya, keseluruhan inisiatif ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pertanian dengan sistem saliran moden serta kemudahan pengangkutan yang lebih efisien.
Tambahnya lagi, usaha itu juga selari dengan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
Pada majlis sama, pampasan berjumlah RM644,995.60 diserahkan kepada 51 orang penerima membabitkan tanah seluas 32.7 hektar.
Dalam perkembangan berkaitan, Len Talif memaklumkan bahawa lebih 80 projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) kini berada di peringkat jururunding dan dijangka mula dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini.
Katanya, projek-projek tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memperkasa pembangunan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Oleh Earl Anek