
BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menyelesaikan masalah bekalan air berterusan di kawasan Sebauh, termasuk isu tekanan air rendah serta kejadian paip pecah yang kerap.
Beliau berkata, pendekatan sekadar pemantauan atau penafian terhadap kewujudan masalah tidak lagi wajar, sebaliknya langkah penambahbaikan konkrit perlu dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan demi kepentingan penduduk setempat.
Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) susulan aduan berulang daripada penduduk yang berdepan gangguan bekalan air, tekanan air tidak stabil serta kualiti air yang keruh, khususnya ketika musim perayaan.
“Walaupun ada agensi mendakwa bekalan air di Sebauh tidak bermasalah, pasukan saya masih menerima aduan secara berterusan daripada penduduk yang tidak berpuas hati dengan keadaan bekalan air sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiong memberitahu, tindakan meningkatkan tekanan air tanpa menaik taraf infrastruktur sokongan hanya akan menyebabkan kejadian paip pecah terus berulang.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerja menaik taraf dan penggantian paip kepada kapasiti lebih besar dilaksanakan segera bagi menyelesaikan punca sebenar masalah.
Dalam perkembangan lain, Tiong turut meminta Jabatan Tanah dan Survei menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan melibatkan seorang ketua kampung yang disyaki menjual tanah, selain menggesa Residen meneliti perkara itu dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Beliau turut mengingatkan semua jabatan berkaitan supaya menghormati peranan serta tanggungjawab Ahli Parlimen dan wakil rakyat dalam menguruskan isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan hal ehwal kawasan.
Menurutnya, penduduk Bintulu telah lama berdepan pelbagai isu termasuk banjir dan gangguan bekalan air, selain berasa kecewa dengan amalan saling menyalahkan antara agensi.
Tiong menegaskan, beliau bersama pasukannya akan terus membawa isu berkenaan ke peringkat Parlimen dan kerajaan negeri sehingga penyelesaian menyeluruh dan berkesan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
Oleh Carolyne Utih