
SIBU: Sekumpulan tuai rumah bersama penduduk dari kawasan Salim, Stabau, Sungai Nibong, Dudong, Sungai Pak, Durin dan Lanang tampil menggesa agar pelantikan kapitan dan penghulu bagi penggal baharu akan datang diberikan kepada calon dalam kalangan anak tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi masyarakat setempat.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, jurucakap kumpulan tersebut, Theng Nam Hoi, mencadangkan dua nama untuk dipertimbangkan pihak berkuasa sebagai calon kapitan dan penghulu.
Mereka ialah Mok Huo Chiang sebagai Kapitan dan Theng Swee Ming sebagai Penghulu, kedua-duanya merupakan penduduk asal kawasan berkenaan yang telah lama aktif terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kerja-kerja kebajikan.
Menurut Nam, keakraban dua individu itu dengan komuniti setempat serta rekod perkhidmatan mereka menjadikan mereka pilihan paling sesuai untuk menerajui kepimpinan akar umbi.
“Mereka bukan sahaja sering turun padang, tetapi juga sentiasa menjadi rujukan apabila berlaku isu atau keperluan kecemasan di kawasan kami.
“Hubungan baik mereka dengan masyarakat berbilang kaum menjadikan mereka calon yang ideal untuk memegang jawatan ini.
“Kami percaya pelantikan mereka akan membawa manfaat besar kepada komuniti kerana mereka memahami keperluan penduduk, mengetahui isu setempat serta mempunyai hubungan baik dengan masyarakat pelbagai kaum di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut mengatakan bahawa penduduk sudah lama berharap jawatan penting itu disandang oleh mereka yang benar-benar tinggal dan berkhidmat di kawasan terbabit.
Nam menegaskan bahawa masyarakat mahukan pemimpin yang mudah didekati, cekap menyampaikan maklumat kerajaan serta mampu menjadi jambatan antara penduduk dan agensi berkaitan.
“Kami mahu pemimpin yang dekat dengan rakyat, seseorang yang boleh ditemui bila-bila masa, yang memahami keadaan sebenar di lapangan, dan yang mampu menjadi jambatan komunikasi antara penduduk dengan pihak kerajaan.
“Kepimpinan seperti ini amat penting terutamanya apabila melibatkan penyaluran bantuan, pembangunan projek kecil luar bandar, serta penyampaian maklumat rasmi,” tambahnya.
Pada masa sama, Nam menegaskan bahasa latar belakang pendidikan juga harus menjadi keutamaan kerana ketua masyarakat masa kini perlu celik digital, mampu mengurus dokumentasi rasmi, memahami undang-undang berkaitan tadbir urus komuniti serta mahir berurusan dengan agensi kerajaan.
Justeru, beliau yakin lantikan Mok dan Theng adalah tepat kerana kedua-dua mereka merupakan lulusan universiti tempatan.
Mok merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, manakala Theng merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Sarjana Profesional Dalam Pentadbiran Perniagaan.
Perkara itu turut disokong oleh Tuai Rumah Joseph Ason dari Ulu Salim, Tuai Rumah Monica Giri dari Stabau dan Tuai Rumah Jabu Selat dari Ulu Sg Salim yang sedia untuk memberi sokongan penuh terhadap cadangan lantikan tersebut.
Sehubungan itu, kumpulan tuai rumah dan penduduk terlibat berharap kementerian berkaitan dapat meneliti cadangan tersebut secara serius demi memastikan suara komuniti di kawasan Salim, Stabau, Sungai Nibong, Dudong, Sungai Pak, Durin dan Lanang terus didengar dan diwakili secara berkesan pada penggal akan datang.
Oleh Tarani Lanting