
ROBAN: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka akan membantu penduduk Rumah Rimbu Guntor Tinting Balai Nyumpit Sungai Engkabang, di sini bagi menyambung bekalan elektrik melalui skim Caj Sambungan Bantuan Dana Kerajaan (CCGFA).
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kemudahan asas dinikmati secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, kos pengecas sambungan bagi projek tersebut dianggarkan berjumlah RM22,810 manakala kerja-kerja pendawaian dalaman pula melibatkan peruntukan sebanyak RM26,280.
“Alhamdulillah, segala perancangan telah diperhalusi dan kerja-kerja pelaksanaan projek ini akan dimulakan dalam jangka masa terdekat demi keselesaan penduduk rumah panjang berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri telah menghadiri Majlis dan Sesi Dialog Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik melalui CCGFA di DUN Kalaka yang diadakan di Rumah Rimbu Guntor Tinting Balai Nyumpit Sungai Engkabang Roban.
Majlis berkenaan dimulakan dengan ucapan aluan oleh wakil tuai rumah, Manggah Bunyau, disusuli ucapan Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas yang menyambut baik usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan itu.
Dalam majlis dialog tersebut, wakil daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) turut memberi penerangan terperinci serta menjawab pelbagai persoalan daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang hadir.
Sesi soal jawab itu antara lain menyentuh isu penyambungan bekalan elektrik, bekalan air, capaian internet serta liputan telefon yang menjadi keperluan utama penduduk setempat.
Mohamad Duri menambah, beliau juga berpeluang berkongsi beberapa inisiatif kerajaan GPS kepada tetamu yang hadir, sekali gus memberi keyakinan bahawa lebih banyak projek pembangunan akan terus dibawa ke DUN Kalaka pada masa akan datang.
Pelaksanaan projek sambungan elektrik tersebut dijangka memberi impak besar kepada kehidupan harian penduduk rumah panjang, terutama dalam aspek pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Oleh Adi Safarman