
SARATOK: Setiap keperluan rakyat terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Terbaharu, satu siasatan tapak projek bagi pembinaan pembetung dan kerja-kerja berkaitan telah dijalankan di kawasan Kali Kaba oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.38 Kalaka, Gapor Ahmad bersama wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek tersebut akan menggunakan peruntukan RTP dan akan dilaksanakan oleh DID sebagai agensi pelaksana.
“Siasatan tapak telah dilakukan pada 24 Julai lalu melibatkan kawasan Rumah Panjang Siti Blanda, Rumah Panjang Christopher dan Rumah Panjang Joshua.
“Projek ini penting bagi mengatasi masalah sistem saliran yang dihadapi penduduk setempat, selain meningkatkan infrastruktur asas luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan komited memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Projek ini dijangka memberi impak positif kepada penduduk sekitar dengan meningkatkan tahap kesejahteraan dan keselamatan komuniti,” tambah Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman