PUSA: Ribuan penduduk yang menghuni di Kampung Tambak dekat sini mendesak agar pihak berkuasa bertanggungjawab untuk menangkap buaya yang dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk kawasan itu.
Sejak 2017 penduduk kampung ini mula dilanda ketakutan ekoran serangan maut ke atas seorang penduduk iaitu Besimilah Razali dari Kampung Hilir Tambak yang turut menjadi mangsa serangan buaya ganas di kawasan hampir sama.
Malahan sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka.
Kebimbangan itu terus memuncak apabila sekali lagi serangan buaya terhadap seorang mangsa warga emas, Sarkawi Talip, 61, yang masih hilang sejak petang Khamis lalu, sekali gus ribuan penduduk di perkampungan itu mahukan tindakan drastik daripada agensi berkaitan dilakukan bagi menghapuskan populasi buaya ganas di Sungai Undai.
Ketua Kampung Tambak, Musa Gapor sebelum kejadian malang yang terjadi pada 2017 yang telah mengorbankan seorang penduduk di situ, keadaan di Sungai Undai yang dahulunya mengalir tenang tanpa sebarang gangguan dan laporan mengenai serangan reptilia yang dianggap ganas ini, kini ramai penduduk mendakwa bahawa banyak buaya ganas menghuni sungai berkenaan.
“Dengan tragedi serangan buaya ganas kali kedua berlaku di perkampungan ini, penduduk kampung di sini sudah mula mempunyai persepsi yang amat negatif terhadap reptilia ini.
“Ada juga penduduk yang cukup emosional sehingga mahu buaya di sepanjang sungai di sekitar sungai itu dan mereka cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai biarpun mengetahui akan bakal menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka sejak berlakunya peristiwa tersebut,” katanya.
Berhubung serangan buaya baru-baru ini, Musa merayu supaya pihak berkuasa terutamanya Sarawak Forestry Corporation (SFC) bertindak segera mengawal populasi reptilia ganas di sepanjang sungai itu bagi mengelak kejadian serupa berulang lagi.
“Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam.
“Saya meragui yang penduduk tempatan sedia membunuhnya. Lagipun untuk membunuh buaya yang besar, anda memerlukan senjata yang berkuasa selain daripada senapang patah biasa,” ujarnya.
Pilihan lain katanya lagi ialah mendapatkan khidmat pakar atau ‘bomoh’ untuk mengusir reptilia ini tetapi sekarang ini pilihan ini sukar dipertimbangkan kerana bayaran yang mereka kenakan boleh mencapai sehingga RM10,000 atau lebih.
Beliau berkata, susulan itu penduduk di perkampungan itu sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera menangkap buaya ganas di sungai itu bagi mengelak lebih ramai penduduk menjadi mangsa korban.
Justeru, Musa turut menasihati kepada mereka iaitu golongan nelayan dan juga kepada masyarakat dan penduduk yang menjadikan Sungai Undai dekat Kampung Tambak sebagai aktiviti utama mereka mencari rezeki, supaya berhati-hati dan berwaspada kerana bimbang nanti manusia akan dijadikan korban buaya seterusnya.
Oleh Adi Safarman