
PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 42.38 juta orang pada 2059 sebelum menurun secara perlahan bermula pada 2060 dengan 42.37 juta, seterusnya kepada 42.08 juta pada 2065 dan 41.43 juta pada 2070, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun penduduk terus meningkat dari 2020 hingga 2059, kadar pertumbuhan dijangka menurun dengan ketara daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus pada 2060.
“Penduduk Kelantan, Pahang, Perak, Terengganu dan Putrajaya dijangka teurs meningkat sepanjang tempoh 40 tahun hingga 2060. Selangor diramalkan kekal sebagai negeri paling ramai penduduk pada 2060 dengan 8.10 juta orang, diikuti Johor (4.99 juta) dan Sabah (4.89 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.
DOSM menerbitkan Unjuran Penduduk, Malaysia, 2020 hingga 2060 yang dikeluarkan hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025, yang memaparkan statistik berkaitan struktur penduduk Malaysia bagi tempoh 40 tahun dengan menggunakan 2020 sebagai tahun asas.
Mohd Uzir berkata sembilan negeri dijangka mencapai kemuncak penduduk lebih awal sebelum Malaysia (2059), iaitu Kuala Lumpur pada 2031, Pulau Pinang (2040), Labuan (2041), Selangor (2049), Johor dan Kedah (2052), Negeri Sembilan (2054) serta Perlis dan Sarawak (2055).
Bumiputera mencatatkan peningkatan peratusan tertinggi, iaitu 10.2 mata peratus daripada 69.4 peratus pada 2020 kepada 79.4 peratus pada 2060. Kaum Cina dan India pula dijangka menurun masing-masing kepada 14.8 peratus (2020: 23.2 peratus) dan 4.7 peratus (2020: 6.7 peratus) pada 2060.
“Penduduk lelaki dan perempuan diramalkan terus meningkat dari 2020 hingga 2060, dengan lelaki melebihi perempuan. Nisbah jantina juga dijangka meningkat daripada 110 pada 2020 kepada 114 lelaki bagi setiap 100 perempuan menjelang 2060,” katanya. – Bernama