
SIBU: Penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disifatkan sebagai langkah tepat dalam memastikan penduduk luar bandar mendapat layanan yang adil dan perhatian sewajarnya daripada wakil rakyat.
Ahli Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bahagian Saribas, Mohamad Khuril Fadalie Shurdy berkata, langkah itu penting memandangkan keluasan kawasan luar bandar dan kedudukan penempatan penduduk yang jauh antara satu sama lain.
“Penambahan DUN membolehkan setiap kawasan diwakili dengan lebih efektif. Suara penduduk kampung, rumah panjang dan kawasan pedalaman akan lebih mudah didengar serta dibantu,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga mampu mengurangkan beban kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada dan seterusnya mempercepat pelaksanaan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, sekolah serta kemudahan awam lain.
“Penambahan kerusi DUN merupakan satu usaha yang wajar demi memastikan masa depan Sarawak yang lebih maju dan saksama, merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk penduduk luar bandar,” ujarnya.
Terdahulu, DUN Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan penambahan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99.
RUU itu diluluskan menerusi undi majoriti yang menyokong dengan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai sesi perbahasan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting