

KUCHING: Sistem perparitan di Lorong Foochow 1N dilaporkan berada dalam keadaan membimbangkan apabila struktur dindingnya semakin runtuh, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan dan pencemaran kepada penduduk setempat.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata penduduk telah mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sejak Mei 2023, namun sehingga kini tiada tindakan pembaikan diambil walaupun laporan dibuat berulang kali.
Menurutnya, keadaan semakin buruk apabila Syarikat SESCO Berhad (SESCO) menjalankan kerja pengorekan pada November 2025 di sepanjang laluan berhampiran longkang berkenaan.
Tambah beliau, selepas kerja selesai, tanah yang digali dipercayai ditimbus semula tanpa kerja pemulihan yang sewajarnya, menyebabkan timbunan tanah terdedah tanpa lapisan atas atau langkah kawalan hakisan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan larian air membawa tanah, mendapan kelodak dan menghalang aliran air, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat,” katanya.
Sehubungan itu, Kong menggesa MBKS mengambil tindakan segera bagi memulihkan struktur longkang yang kian runtuh dan menegaskan pasukannya akan terus memantau isu berkenaan sehingga kerja pembaikan dilaksanakan sepenuhnya.
Oleh Connie Chieng