
LAWAS: Penduduk di sini disifatkan bertuah kerana memiliki kepimpinan yang berjaya membawa pelbagai projek pembangunan sehingga menjadikan kawasan itu semakin maju di utara Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Gerawat Gala, berkata projek Pusat Akuatik Lawas di Kompleks Sukan Lawas merupakan antara inisiatif penting yang mampu membangunkan sukan air di negeri ini.
Menurutnya, pelaburan kerajaan dalam pembinaan pusat akuatik bertaraf olimpik itu diharap dapat dimanfaatkan bagi melahirkan atlet sukan air bertaraf antarabangsa seperti Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

“Kita berharap kemudahan ini dapat digunakan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai atlet berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika melawat tapak projek tersebut, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek berkenaan mengalami sedikit kelewatan, namun pihak pemaju komited untuk menyiapkannya selewat-lewatnya penghujung Disember tahun ini.
“Memang terdapat kelewatan kira-kira 30 peratus daripada jadual asal, namun pihak kontraktor menyasarkan projek ini siap sepenuhnya menjelang hujung tahun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Gerawat yang diiringi Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong, serta Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA), Ubaidillah Latip turut meninjau projek Jambatan Bandar Lawas.

Menurut beliau, jambatan tersebut bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan daerah itu selain meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk setempat.
“Jambatan ini amat luar biasa dari segi saiz dan reka bentuk. Inilah kelebihan yang dinikmati penduduk Lawas hasil kepimpinan berwawasan seperti ADUN Bukit Sari merangkap Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan serta Ahli Parlimen Lawas,” katanya.

Tambah beliau, projek jambatan itu kini mendahului jadual pembinaan dan dijangka dapat dirasmikan pada penghujung tahun ini.
Gerawat turut menyatakan kepuasan terhadap mutu kerja kontraktor yang disifatkan kemas serta berpengalaman dalam menyiapkan projek jambatan ikonik tersebut.
Oleh Adeng Edrus