SRI AMAN: Penduduk Klauh Dau di sini nampaknya tidak bersendirian dalam usaha menyekat penularan pandemik Covid-19 dengan bertindak mendirikan papan tanda peringatan berkaitan perkara itu berdekatan rumah panjang mereka sebelum ini.
Ini kerana tindakan mendirikan papan tanda peringatan Covid-19 juga turut dilakukan oleh penduduk Rumah Panjang Klauh Tinting Kendawang yang mahu pergerakan keluar dan masuk orang luar ke penempatan mereka dihadkan buat masa sekarang.
“Apabila terdengar munculnya tujuh kes positif Covid-19 di Sri Aman pada minggu lepas saya dan penghuni rumah panjang telah mengadakan satu perbincangan khas untuk memutuskan langkah bagi menghadapi penularan pandemik itu.
“Salah satu langkah yang diambil adalah mendirikan papan tanda peringatan di sini. Orang luar tidak dibenarkan masuk sesuka hati ke rumah panjang jika mereka tidak mempunyai urusan penting untuk dilakukan di sini,” kata Tuai Rumah, Unggie Gumeh.
Beliau berkata tindakan menghadkan pergerakan keluar masuk orang luar ke Rumah Panjang Klauh Tinting Kendawang adalah amat penting untuk mengurangkan risiko penularan pandemik berbahaya itu.
Malah penghuni rumah panjangnya kata Unggie juga telah diberi penerangan mengenai perkara ini dan diingatkan agar sentiasa berwaspada dalam melakukan ‘kontak’ terhadap orang luar di sini kelak.
“Penghuni rumah panjang kami akan tetap mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa sekarang.
“Kami juga mengesyorkan rumah-rumah panjang di Sri Aman agar melakukan tindakan yang sama demi menghadkan kemasukan orang luar yang mungkin boleh membawa virus itu secara tidak sengaja bersama diri sendiri kelak,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG