SIBU: Penduduk di Taman Kemuyang dan Kenari Kemuyang resah akibat gangguan bekalan air yang berlarutan sejak 26 Ogos lalu.
Tidak cukup dengan itu, penduduk juga mengalami gangguan ketidakstabilan bekalan elektrik menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai kesulitan.
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Darul Ukhuwah Kemuyang, Ariffin Bahar kecewa dengan Lembaga Air Sibu (LAS) dan Sarawak Energy kerana gagal memberikan tindak balas segera dalam menangani krisis tersebut.
Katanya, sehingga pagi ini meskipun bekalan air belum pulih sepenuhnya, kesan gangguan tersebut sangat dirasai oleh penduduk.
“Penduduk tetap bimbang mengenai ketidakstabilan perkhidmatan asas (elektrik) di kawasan ini.
“Justeru, saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk mengelakkan gangguan seperti ini daripada berulang pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menggesa Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk segera menaik taraf pencahayaan di sepanjang Jalan Kemuyang.
“Pencahayaan yang lemah di kawasan tersebut telah menimbulkan risiko keselamatan, terutama bagi mereka yang berulang-alik dari Kemuyang ke bandar Sibu pada waktu malam.
“Keadaan tersebut, diburukkan lagi dengan kerosakan permukaan jalan disebabkan oleh kenderaan berat dari tapak pembinaan berhampiran,” katanya.
Beliau berharap, pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih agresif dalam menguatkuasakan peraturan, terutama terhadap kenderaan yang membawa muatan berlebihan.
Oleh Akun Giman