MARUDI: Impian penduduk Kampung Pemindahan untuk mendapatkan sebuah dewan masyarakat dan padang futsal akan dilaksanakan apabila pembinaan kedua-kedua projek ini akan dijalankan dalam masa terdekat.
Pembinaan kedua-kedua projek tersebut dibina atas lot 222 kampung Pemindahan yang masing-masing di tapak seluas 0.87 ekar bagi pembinaan dewan dan 0.5 ekar bagi pembinaan padang futsal.
Menurut Jurutera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri, Alvin Lambong kos pembinaan dewan masyarakat menelan belanja RM529,972.69.
Katanya pembinan dewan tersebut mengambil masa sembilan bulan dan dijangka siap pada 27 June 2021 sementara pembinaan padang futsal dengan kos pembinaan RM263,840.49 mengambil masa enam bulan dan akan dapat disiapkam pada 27 March 2021.
Ketua Kampung Pemindahan, Man Bin Galau menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.76 Marudi, Datu Dr Penguang anak Manggil atas usaha beliau untuk merealisasikan kedua-kedua projek ini atas permintaan penduduk Kampung Pemindahan.
“ Ini merupakan hadiah yang paling bernilai kepada kami di mana impian kami untuk mendapat dewan masyarakat dan padang futsal selama ini akhirnya tertunai,” katanya.
Tegasnya dalam masa empat tahun Penguang menjadi wakil rakyat telah berjaya menyelesaikan masalah penduduk kampung Pemindahan yang selama ini ingin mendapat dewan masyarakat dan padang futsal.
Sehubungan itu, Man Galau menegaskan pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dianggap kerajaan yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat.
“Melalui ADUN kawasan seperti Datuk Dr Penguang kami bangga dan berasa bertuah mempunyai seorang wakil rakyat yang rajin bekerja dan berjiwa dan mesra rakyat kepada semua kaum tanpa memilih warna kulit, bangsa dan agama, “ tambah Man Galau.
Turut serta melawat ke tapak pembinaan projek dewan dan futsal tersebut Jurutera Awam JKR Bahagian Miri, Nelly Alicia, Pegawai Menguasa JKR Marudi, Mohd Safuan Abdullah, Penolong Jurutera JKR Marudi, Puan Norhayty Bte Rawai dan Ketua Kampung pemindahan Man Galau.
Oleh Jiku Juguong