
BUNGIN: Penduduk Kampung Bungin digesa agar tidak berasa kekok atau takut dalam menyuarakan idea serta cadangan membina demi kepentingan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Gesaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam yang menegaskan bahawa setiap pandangan rakyat amat bernilai dalam usaha membentuk persekitaran yang lebih berkualiti untuk diwarisi generasi akan datang.
Beliau berkata, penglibatan aktif masyarakat dalam memberi pandangan mampu membantu pihak kerajaan dan kepimpinan tempatan merangka pelan pembangunan yang lebih menyeluruh serta berkesan.
Menurutnya, suara rakyat merupakan asas penting dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti.
Berucap ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Bungin di Dewan Pahlawan 7, beliau turut menekankan kepentingan amalan kepimpinan yang terbuka dalam kalangan barisan pemimpin kampung.


Katanya, sikap berlapang dada dalam menerima pandangan dan aduan penduduk akan meningkatkan kepercayaan serta rasa hormat masyarakat terhadap kepimpinan sedia ada.
Tambah beliau, kepimpinan yang mengamalkan keterbukaan bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran, malah mampu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang.
Pada masa sama, ia turut mewujudkan suasana harmoni dan saling memahami antara pemimpin dan penduduk setempat.
Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, beliau menyifatkan majlis ramah tamah sebagai platform terbaik untuk memperkukuh semangat perpaduan dan muafakat dalam kalangan masyarakat.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kemenangan yang membawa mesej perdamaian dan keinsafan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan tersebut wajar dimanfaatkan sebagai ruang untuk membuka lembaran baharu dengan hati yang bersih serta memperbaiki hubungan sesama insan. Dalam konteks itu, masyarakat digalakkan untuk melupakan perselisihan lalu dan membina kembali jalinan silaturahim yang kukuh.
Menurutnya lagi, semangat kebersamaan perlu diterjemahkan melalui tindakan seperti bekerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan serta menyumbang idea tanpa rasa ragu. Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh struktur sosial kampung dan memastikan keharmonian terus terpelihara
Beliau berharap agar semangat kerjasama yang berteraskan kasih sayang dan saling menghormati akan terus menjadi tunjang kekuatan penduduk Kampung Bungin dalam menghadapi cabaran masa hadapan serta mencapai kesejahteraan yang mampan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang; Temenggong Piee Alwi; Pemanca Syafiee Junaidi dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kampung Bungin, Dr Zulwali Kifli Merawi.
Oleh Adi Safarman