


TERIMA KASIH….Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menyerahkan geran MRP kepada penerima. Foto Datuk Larry Sng Wei Shien
JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menyeru penduduk agar terus mengusahakan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan lada bagi menjamin sumber pendapatan keluarga yang stabil dan berterusan, meskipun berdepan turun naik harga pasaran.
Menurutnya, tanaman komoditi tersebut telah lama menjadi sumber rezeki utama penduduk rumah panjang dan terbukti mampu membantu mereka menyara keluarga, termasuk dalam membiayai pendidikan anak-anak.
“Kini kita di Julau telah melaksanakan penanaman kelapa sawit yang boleh memberi pendapatan kepada keluarga.


SELAMAT DATANG….Penduduk Rumah Saripah menyambut ketibaan Datuk Larry Sng Wei Shien. Foto Datuk Larry Sng Wei Shien
“Begitu juga kita masih menanam lada yang telah diamalkan penduduk rumah panjang sejak zaman dahulu,” katanya.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat bagi merasmikan jalan simen di Rumah Saripah, Nanga Bekakap, Entabai, semalam.
Tambahnya, komoditi tersebut terbukti mampu membantu ekonomi penduduk, namun mereka harus sentiasa bersedia menghadapi turun naik harga pasaran.
“Walaupun harga komoditi turun naik, saya menggalakkan rakyat tidak berputus asa malah sentiasa menjaga kebun masing-masing.
“Kerana inilah yang kita di rumah panjang gunakan untuk menyara keluarga terutama untuk pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut berkongsi situasi harga komoditi yang pernah merosot teruk sebelum kembali meningkat.
“Pada 2019, kita menghadapi penurunan ketara dalam harga lada kepada RM7 sekilo dan kelapa sawit juga turun kepada RM300 setan.
“Kini harga kedua-dua komoditi telah meningkat, tetapi kita mesti bersedia kerana harga tidak akan naik selama-lamanya.
“Sekarang harga lada RM26 sekilogram dan kelapa sawit melebihi RM700 setan, di sini jugalah kita menyimpan belanja untuk keluarga dan perbelanjaan sekolah anak-anak,” katanya.

Pada masa sama, Larry menegaskan kepentingan pendidikan sebagai kunci perubahan hidup terutama bagi generasi muda di kawasan luar bandar.
“Justeru, saya sentiasa berharap agar rakyat mengutamakan pendidikan kerana ia mampu mengubah kehidupan kita.
“Galakkan anak-anak ke sekolah agar masa depan mereka membawa kejayaan yang membanggakan kita.
“Sama ada mereka bekerja di sektor kerajaan, swasta atau bekerja di laut dan lain-lain, kita doakan kejayaan mereka,” katanya lagi.
Untuk tujuan pendidikan, Larry telah menubuhkan Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Justeru, saya mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) bagi membantu dan meringankan beban kewangan rakyat di Julau, bagi menampung pendidikan anak-anak mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM128,700 yang disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Saripah, JKKK Rumah Juan, JKKK Rumah Tambi di Bukit Menggeris, JKKK Rumah Andrew (Rumah Asin), JKKK Rumah Tadong, JKKK Rumah Ukam, JKKK Rumah Melana, JKKK Rumah Kelambu di Bekakap, Biro Wanita Rumah Saripah dan Gereja BEM Bekakap.
Oleh Earl Anek