
JULAU: Penduduk di Julau digesa memanfaatkan peluang dalam sektor pelancongan dengan membangunkan rumah inap desa sebagai sumber pendapatan tambahan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, usaha ini selaras dengan pertumbuhan pesat industri pelancongan negara yang membuka ruang luas kepada penglibatan masyarakat luar bandar.
“Seiring dengan perkembangan industri pelancongan negara, saya menggesa penduduk Julau agar merebut peluang ini dengan membangunkan rumah inap desa.
“Kalau boleh, setiap rumah panjang perlu ada produk sendiri dan ini boleh memberi pendapatan tambahan untuk kita dan keluarga,” katanya.

Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Mantar Gawai 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entaih, baru-baru ini.
Tambahnya, antara contohnya adalah Rumah Margereta di Kerangan Buluh telah lama berkecimpung dalam industri pelancongan.
“Semasa program saya di sana (Rumah Margereta) baru-baru ini, saya bertanyakan berapakah pendapatan tambahan yang mereka perolehi dengan membangunkan rumah inap desa.
“Saya percaya bahawa industri pelancongan menguntungkan dan boleh menjadi perniagaan.
“Gunakan kelebihan yang kita ada di Julau seperti hutan hijau, air sungai yang jernih dan lain-lain lagi,” katanya.
Di majlis tersebut, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 untuk SK Nanga Entaih.
Oleh Earl Anek