MATU: Penduduk di Kampung Tian di sini hari ini bergotong-royong membersih Sungai Kampung Tian yang dipenuhi dengan semak samum sejak tahun 2018.
Mereka bergotong-royong membersih sungai terbabit sejak 7.00 pagi dan setakat petang semalam, mereka berjaya membersih sepanjang lebih 200 meter daripada 800 meter sungai berkenaan.
Pemangku Ketua Kaum Kampung Pinak, Tian, Rosli Ghani berkata, pada mulanya Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Majlis Daerah Matu Daro bersetuju untuk membersih sungai yang hampir ‘tertutup’ oleh semak itu pada September 2018.
“Bagaimanapun ia tidak dilaksanakan hingga hari ini, sungai tersebut dibersihkan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Tian sendiri. Alasannya kerana wabak pandemik Covid-19. Jika itu alasannya, kenapa pula kerja-kerja membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng dapat dilaksanakan pada Julai lepas,” katanya ditemui pemberita di Kampung Tian, di sini semalam.
Menurut beliau, adalah tidak masuk akal untuk membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng terlebih dahulu kerana Sungai Tian hingga ke Sekaan adalah saliran utama atau sebagai nadi pergerakan air sungai dari hulu mengalir ke laut.
“Secara logiknya,jika Sungai Tian dibiarkan penuh dengan semak tidak ada maknanya membersih Sungai Bawang atau Sungai Jemoreng terlebih dahulu.
“Setelah lima ketua kaum di Kampung Tian (Tian Hilir, Tian Tengah, Tian Pinak, Tian Kebuaw dan Tian Padang) berunding, kami memutus untuk berjumpa dengan mantan Ahli Parlimen Igan dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Matu-Daro (Jemoreng), Datuk Abdul Wahab Dolah untuk mendapat nasihat daripada beliau.
“Atas budi bicara Datuk Wahab, beliau menasihatkan kami supaya bergorong-royong membersih Sungai Tain. Penduduk Kampung Tian tanpa banyak soal bicara sudi bergotong-royong membersihkann sungai itu hari ini,” kata Rosli, 70 tahun.
“Kami juga mengucao terima kasih kepada Datuk Wahab kerana sudi menyedia keperluan bagi menjayakan program gotong royong itu,” katanya.
Sementara itu, mantan ketua kaum Kampung Kebuaw, Tian, Ahmad Rosli, 64, berkata, Sungai Tian ini perlu dibersihkan setiap tahun dan jika dibersihkan setiap tahun pasti ‘ditutupi’ oleh semak.
“Sungai Tian perlu dibersih supaya laluannya mudah digunakan oleh penduduk kampung untuk menarik batang rumbia yang diperolehi dari sekitar kawasan tebing sungai.
“Sungai ini harus dibersihkan untuk mempercepatkan air mengalir. Sekarang sudah nak hampir musim terkujuh. Jika sungainya ‘tertutup’ pasti air sukar mengalir dan ini kemungkinan mencetuskan banjir.
“Sebelum banjir melanda, ada baiknya kita buat persediaan lebih awal. Menyingkap sejarah, Sungai Tian adalah nadi perhubungan bagi penduduknya. Sungai ini dijadikan laluan utama bagi penduduk kampung bergerak dan mencari makan dan ke kebun.
“Disebabkan sekarang sudah ada jalan raya, sungai ini semacam dibiarkan. Kami tidak mahu sungai ini menjadi sungai ‘mati’. Sungai yang banyak meninggalkan sejarah ini harus dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.
“Sungai Tian harus sentiasa bersih untuk mengelak pencemaran. Saya turut berasa khairan, kenapa pihak terbabit memutus untuk membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng terlebih dahulu.
“Walaupun gotong-royong hari ini tidak berjaya menyiapkan keseluruhan 800 meter panjang sungai itu, kami akan meneruskannya pada Ahad dan hari lain sehingga selesai,” tegas beliau.