
SIBU: Selepas lebih dua minggu berdepan gangguan bekalan air, penduduk Taman Perumahan Eco Garden akhirnya menarik nafas lega apabila dua lori tangki air dihantar ke kawasan mereka malam tadi, bagi membekalkan air bersih yang amat diperlukan.
Penghantaran tersebut adalah inisiatif khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, sebagai langkah segera untuk meringankan beban penduduk yang terkesan.

Menurut Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Sibu Jaya, Paul Teo, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk yang masih belum menerima bekalan air, walaupun laporan telah dikemukakan kepada Sarawak Water Sdn. Bhd.
“Ramai penduduk cuba menghubungi talian hotline Sarawak Water tetapi gagal. Ada juga yang telah membuat permohonan untuk penghantaran air melalui lori, namun ia tiba lewat atau ketika mereka tiada di rumah,” katanya ketika ditemui semasa operasi pengagihan air bersih di Eco Garden malam tadi.

Dua lori tangki berkapasiti 10,000 liter digunakan dalam operasi tersebut, dan penghantaran akan diteruskan hari ini untuk memastikan setiap kawasan mendapat giliran agihan.
“Atas keprihatinan Dato Sri Tiong yang juga ADUN Dudong, kami turun malam ini untuk membantu penduduk yang amat memerlukan,” jelas Teo.
“Penghantaran akan diteruskan sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.”
Teo turut melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan pihak Sarawak Water dalam memberikan penjelasan mengenai punca sebenar gangguan dan pelan tindakan yang telah atau akan diambil.

“Kami berharap pihak Sarawak Water tampil memberi penerangan jelas mengenai punca masalah ini serta pelan jangka pendek dan panjang bagi menstabilkan semula bekalan air,” katanya tegas.
Masalah berlarutan itu, katanya, telah menjejaskan kehidupan harian penduduk termasuk urusan memasak, mencuci, dan keperluan asas keluarga.
“Penduduk terpaksa berjimat menggunakan air simpanan, malah ada yang terpaksa membeli air untuk kegunaan harian. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.
Teo turut menzahirkan penghargaan kepada Dato Sri Tiong atas keprihatinan dan tindakan pantas beliau dalam membantu penduduk Eco Garden yang sedang berdepan kesukaran.
Oleh Tarani Lanting