
BINTULU: Penduduk di kawasan terdedah kepada banjir dan cuaca tidak menentu di DUN Jepak dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta bersedia dengan menyimpan dan membawa dokumen penting sekiranya diarahkan berpindah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, langkah kesiapsiagaan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan terutama ketika hujan lebat dan ribut yang berlaku secara berterusan kebelakangan ini.
Menurut beliau, penduduk di kampung dan rumah panjang yang berada di kawasan rendah serta berhampiran sungai perlu sentiasa memantau maklumat cuaca dan perkembangan semasa daripada saluran rasmi kerajaan.
“Penduduk yang berada di kawasan mudah banjir perlu sentiasa bersedia, termasuk memastikan dokumen penting seperti kad pengenalan dan dokumen rasmi disimpan dengan selamat dan mudah dibawa sekiranya perlu berpindah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan penyerahan tapak projek RTP di sungai Sebuan Besar, Jepak di sini, hari ini.
Iskandar turut menggesa ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tuai rumah supaya sentiasa berhubung dengan Pejabat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan agensi berkaitan bagi mengemas kini maklumat situasi banjir di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang sentiasa membantu melalui tindakan ‘ad hoc’ termasuk kerja-kerja penyelenggaraan saliran bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Oleh Carolyne Utih