
BINTULU: Penduduk digesa agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat longkang atau parit tersumbat bagi membolehkan tindakan penyelenggaraan dilaksanakan lebih awal sebelum berlakunya banjir kilat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata, pemantauan berterusan dan kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan sistem perparitan di kawasan perumahan berfungsi dengan baik, khususnya menjelang musim tengkujuh hujung tahun ini.
“Penduduk tidak harus menunggu sehingga banjir berlaku, baru melapor.
“Jika ada parit tersumbat atau air tidak mengalir dengan lancar, maklumkan segera kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) atau Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) supaya kerja pembersihan dapat dijalankan lebih awal,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak sistem perparitan di sekitar Gem Park dan Taman Bukit Orang, hari ini.

Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati sebahagian saliran di kawasan berkenaan tidak mencukupi untuk menampung aliran air ketika hujan lebat.
“Kita lihat ada aliran air, tetapi tidak mencukupi.
“Agensi berkaitan perlu mengambil langkah segera termasuk melakukan kerja pengerukan dan pelebaran longkang bagi memastikan air dapat dialirkan terus ke Sungai Sebiew,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua agensi agar bersiap sedia lebih awal dan tidak menunggu hingga akhir tahun apabila peruntukan kewangan semakin terhad.

“Kita tahu musim monsun akan tiba tidak lama lagi, jadi tindakan awal amat penting.
“Jangan tunggu hujung tahun baru cari bajet. Segala persediaan mesti dilakukan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Johnny turut menasihati orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam longkang atau parit yang boleh menyekat aliran air dan menyebabkan banjir kilat di kawasan kediaman.
Beliau berkata, Jawatankuasa Bencana Bahagian Bintulu juga akan mula bersidang dalam masa terdekat bagi menyelaras langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.
Oleh Carolyne Utih