

DARO: Penduduk di daerah ini dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir, walaupun paras air di beberapa kawasan dilaporkan semakin surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, keadaan banjir di Kampung Pangtray yang sebelum ini terputus hubungan apabila jalan kampung dinaiki air hampir seminggu akibat hujan berterusan, kini menunjukkan perkembangan positif apabila paras air mula surut susulan cuaca baik sejak semalam.
“Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada penduduk yang terjejas. Namun, situasi tersebut tidak harus dipandang ringan kerana risiko gelombang kedua banjir masih wujud,” katanya.
Menurutnya, Monsun Timur Laut yang dijangka berlarutan sehingga bulan Mac berpotensi menyebabkan hujan berterusan, sekali gus meningkatkan risiko banjir berulang.

“Keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, yang mampu menyebabkan paras air meningkat dengan pantas,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Safiee menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan ramalan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengambil langkah keselamatan awal bagi melindungi diri, keluarga dan harta benda.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan yang telah memberikan kerjasama, bantuan dan khidmat bakti sepanjang tempoh banjir, termasuk usaha pemantauan dan kawalan keselamatan di kawasan terjejas.
Terdahulu, Dr Safiee meninjau keadaan banjir di Kampung Pangtray serta menyempurnakan simbolik penyampaian bantuan kepada penduduk yang terlibat.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos, Pemangku Pegawai Daerah Daro, Prisilla Palasek, Jurutera Daerah JKR Matu Daro, Faizol Hashim, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Hasman Bakar, serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Akun Giman