SEBUYAU: Penduduk kawasan pesisir Sebuyau melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana akhirnya merealisasikan impian mereka untuk menikmati bekalan air bersih 24 jam.
Semalam Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melancarkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Bahagian Samarahan iaitu dari Samarahan ke Sebuyau yang menelan kos RM500 juta dan dijangka siap menjelang 2021.
Salah seorang penduduk tetap dari Kampung Sungai Nibong, Sebangan yang ditemui, Bate Belon, 85, berkata beliau sangat bersyukur kerana akhirnya bakal menikmati bekalan air bersih tidak lama lagi.
“Saya memang menetap di kampung ini dari dahulu lagi, selama ini kami bergantung dengan bekalan air dari tong biru besar dan menyimpan bekalan air serta menadah air hujan untuk kegunaan seharian.
“Apabila mendengar projek bekalan air bersih dari paip ini akan siap tidak lama lagi, saya berasa sangat gembira dan berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin kerana sudah lama menunggu,” ujarnya ketika ditemui Utusan Sarawak di kampungnya, semalam.
Sementara itu, James Bate, 47, petani juga dari Kampung Sungai Nibong, Sebangan berkata pelaksanaan projek ini memang sangat diharapkan oleh pihaknya dan berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin.
“Saya lahir dan menetap di kampung ini, beberapa tahun lepas kita sudah dipasangkan paip dan meter, tetapi belum ada air, jadi saya berharap semoga ia akan dapat siap pada tahun ini.
“Sudah lama saya mendambakan untuk menikmati bekalan air bersih 24 jam untuk kemudahan dan keselesaan penduduk kampung.
“Selain itu, kita amat berterima kasih kepada GPS dibawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana cepat melaksanakan projek bekalan air ini dan memahami kehendak rakyat dari akar umbi,” ujarnya.
Projek Bekalan air yang menelan kos RM500 juta itu akan memberi impak signifikan kepada lebih 85,000 penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.
Oleh Zarina Abdullah