SARATOK: Bermulanya pembinaan jalan utama dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau, telah menoktahkan kegelisahan rakyat di kawasan itu setelah menunggu hampir belasan tahun untuk melihat jalan tersebut berturap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata setelah menjalani pelbagai proses seperti reka bentuk, pembayaran pampasan dan kini akhirnya lantikan kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut sudahpun selesai.
“Melalui tempoh selama 32 bulan, jalan sepanjang 20 kilometer dan melibatkan pembinaan lima jambatan baharu akan siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pembinaan jalan yang berturap ini akan memberikan keselesaan penduduk Kampung Kupang dan beberapa rumah panjang di sepanjang jalan tersebut,” katanya pada majlis ringkas serah tapak projek jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau Saratok di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, semalam.
Mohamad Duri berkata impian penduduk kampung termasuk beberapa rumah panjang di sepanjang jalan dari Kampung Kupang ke simpang jalan Bajau kini sudah sampai ke garisan penamat apabila kerja-kerja naik taraf jalan tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata FDZ Engineering Sdn Bhd selaku kontraktor yang telah dilantik akan melaksanakan projek tersebut menerusi proses tender yang akan memulakan kerja mereka tidak lama lagi.
Mohamad Duri dalam pada itu berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana merealisasikan projek ini dengan penambahan dana daripada RM90 juta kepada RM112.9 juta.
Jalan Bajau-Kupang katanya lagi dijangka siap September 2027. Skop projek termasuk menurap jalan kepada piawaian JKR R2 (16.9 kilometer) dan R1 (3.0 kilometer), sistem saliran jalan, lima jambatan dan lain-lain keperluan.
Sementara itu, Mohamad Duri memaklumkan projek pembinaan Jambatan Sungai Krian Dua di pekan Saratok akan ditender pada tahun ini.
“Rasa syukur dan terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), KKDW, JKR Sarawak kerana telah bersama-sama berganding bahu bagi menunaikan impian ribuan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Kalaka untuk mendapatkan jalinan jalan raya yang lebih berturap.
“Sesungguhnya penantian jalan yang berturap sudah sekian lama dan kini ia telah menjadi kenyataan, bukanlah satu igauan mimpi lagi,” katanya.