
KUCHING: Dalam usaha Sarawak melaksanakan pendigitalan sebagai sebahagian daripada tadbir urus moden, keperluan golongan warga emas tidak boleh diabaikan, kata Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong.
Beliau berkata ramai warga emas masih tidak dapat menikmati sepenuhnya manfaat Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kerana tidak memiliki telefon pintar yang diperlukan untuk mengakses baucar digital bantuan tersebut.
“Pendigitalan sepatutnya memudahkan kehidupan, bukannya menyukarkan. Namun realitinya, ramai warga emas kini terpinggir hanya kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar,” katanya.
Kong menambah keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila sistem parkir Bandaraya Kuching dilaksanakan sepenuhnya secara digital, sekali lagi meletakkan warga emas tanpa telefon pintar dalam keadaan tidak menguntungkan.
Walaupun inisiatif seperti Elderly Easy Payment diperkenalkan, katanya, ia tidak menyelesaikan masalah bagi warga emas yang tinggal bersendirian atau tidak mempunyai ahli keluarga untuk membantu pendaftaran.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan negeri benar-benar serius mahu melaksanakan pendigitalan, isu jurang digital perlu ditangani secara menyeluruh.
“Kerajaan tidak boleh sekadar melaksanakan pendigitalan dan mengharapkan semua orang mampu menyesuaikan diri. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan tiada sesiapa yang tercicir, khususnya warga emas yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Kong mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian peranti digital asas kepada warga emas yang tidak memiliki telefon pintar, selain menyediakan bimbingan penggunaan yang sesuai. Beliau turut menekankan keperluan penyelesaian sementara yang praktikal dilaksanakan segera.

Bagi SKAS, katanya, bantuan sepatutnya dimasukkan terus ke dalam akaun bank warga emas supaya mereka dapat mengakses bantuan tanpa bergantung kepada baucar digital atau pihak ketiga.
Mengenai isu parkir, beliau mencadangkan agar warga emas dibenarkan membeli pas parkir bermusim secara fizikal yang sah digunakan di kawasan MBKS dan DBKU.
“Langkah ini membolehkan warga emas menjalani urusan harian tanpa rasa bimbang dikenakan saman hanya kerana tidak memiliki telefon pintar,” katanya.
Kong menggesa kerajaan negeri supaya menilai semula pendekatan pendigitalan dan meletakkan keperluan warga emas sebagai keutamaan dalam proses transformasi digital Sarawak.
“Tiada seorang pun rakyat Sarawak yang sepatutnya ditinggalkan hanya kerana tidak mampu mengikuti perkembangan teknologi,” katanya.