DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) kini beranjak ke arah penerbitan secara digital dengan penumpuan kepada bahasa sukuan dan sastera rakyat.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata, ranah yang sedemikian ini dilihat sebagai wahana primer untuk memaparkan kebitaraan masyarakat masa lampau kepada generasi revolusi perindustrian 4.0 agar dapat dihayati dan dihargai.
Kata beliau, cerita-cerita rakyat mampu meninggalkan kesan dalam jiwa kanak-kanak dan secara tidak langsung membentuk peribadi dan pemikiran.
“Justeru kaedah pendigitalan dilihat sebagai saluran penyebarluasan maklumat yang tepat dengan perkembangan pesat teknologi maklumat,” kata beliau pada majlis Webinar Kearifan Tempatan dan Pelancaran Program Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak, semalam.
Seminar yang menampilkan empat orang pemakalah itu membicarakan tentang pendigitalan bahasa sukuan sebagai usaha ke arah pelestarian dan pendokumentasian bahasa-bahasa sukuan di negeri ini.
Mereka terdiri daripada Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Dr. Wan Zainal Abiddin Masleh, Dr. Suhaila Saeed dan Dr. Sarah Samson Juan sementara moderatornya, Correta Herliana Kura.
Pada Majlis tersebut Abang Haliman Abang Julai telah menyempurnakan pelancaran Program Pembinaan dan Penyelidikan DBP Sarawak.
Oleh MOHIDIN MALEK