
KUCHING: Tahap pendigitalan perkhidmatan kerajaan Sarawak kini mencapai 59.4 peratus, sekali gus menandakan hala tuju baharu untuk memperkukuh kecekapan jentera perkhidmatan awam dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peningkatan itu penting bagi memastikan setiap urusan pentadbiran menjadi lebih pantas, berasaskan data dan mampu membuat keputusan yang tepat selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak (RMK-13).
Beliau berkata, kejayaan Sarawak melangkah ke fasa pembangunan seterusnya, termasuk pelaksanaan PCDS 2030 Fasa Kedua, bergantung sepenuhnya kepada disiplin dan kecekapan perkhidmatan awam sebagai tulang belakang pentadbiran negeri.

“Selepas kejayaan fasa pertama PCDS 2030, termasuk rekod hasil tertinggi RM14.2 bilion dan pengiktirafan Bank Dunia bahawa Sarawak telah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi tujuh tahun lebih awal, tumpuan kita kini beralih kepada ekonomi masa depan seperti semikonduktor, digitalisasi dan tenaga baharu.
“Kita mesti menjadi perkhidmatan yang cekap, menyederhanakan proses, menghapuskan kerumitan dan menumpukan usaha pada impak sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa pengukuhan perkhidmatan awam bukan sahaja bergantung pada sistem digital, tetapi juga sikap, integriti dan kesediaan pegawai untuk berubah mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, tumpuan negeri ketika ini adalah untuk memastikan setiap jabatan mengurangkan kebergantungan kepada prosedur manual serta memanfaatkan teknologi bagi mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan sektor ekonomi.
Beliau berkata, perubahan itu penting bagi menyokong agenda pembangunan berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan, termasuk usaha memperluas rangkaian industri baharu yang memerlukan pentadbiran lebih efisien dan responsif.
Pada masa sama, Abang Johari menambah bahawa kepimpinan dalam perkhidmatan awam perlu sentiasa memastikan budaya kerja profesional dan berdisiplin terus diperkukuh agar Sarawak mampu muncul sebagai negeri maju dengan pentadbiran yang telus, kompeten dan berdaya saing.
Oleh Shahrul Qaizat