


MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan negeri dengan memberi penekanan kepada bidang strategik termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI), robotik serta ekonomi hijau bagi melahirkan modal insan berdaya saing masa hadapan.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, berkata pendidikan merupakan tonggak utama pembangunan Sarawak dan menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Sarawak kini merangka hala tuju pendidikan sendiri dengan fokus kepada bidang yang akan menentukan landskap ekonomi masa hadapan negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ar. Jeffry Phang pada Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Kecemerlangan SPM dan A-Level Sekolah Menengah Riam Road, di sini, hari ini.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, berkata Sarawak turut memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelbagai institusi bagi memastikan golongan belia dilengkapi dengan kemahiran relevan industri dan bersedia untuk menceburi kerjaya bernilai tinggi.
Menurut beliau, antara inisiatif utama kerajaan negeri ialah Skim Pendidikan Tertiari Percuma (FTES) yang akan bermula pada 2026, melibatkan pendidikan ijazah sarjana muda secara percuma di empat institusi pengajian tinggi utama di Sarawak.
“Fasa pertama FTES merangkumi 64 program kritikal termasuk sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, perubatan, undang-undang dan bidang strategik lain bagi memperluas akses pendidikan tinggi serta mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga memperluaskan akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa menerusi peruntukan RM36 juta bagi kos operasi sekolah antarabangsa Yayasan Sarawak tahun hadapan, selain RM13 juta untuk kerja-kerja awal peluasan kampus di Bintulu dan Miri.
Lee turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang menerima anugerah, sambil menegaskan bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga pembentukan sahsiah, integriti dan nilai murni.
“Pergilah menimba ilmu dan pengalaman sejauh mungkin, namun jangan lupa Sarawak adalah tanah air kita. Negeri ini memerlukan bakat muda untuk menyumbang kepada pembangunan dalam bidang inovasi digital, ekonomi hidrogen, kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan penyelidikan saintifik,” katanya.
Beliau berharap para pelajar akan terus berusaha gigih, berani bermimpi besar serta menjadi kebanggaan keluarga, sekolah dan Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling