Pendidikan terus jadi pelaburan strategik Sarawak bentuk modal insan berkualiti  

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Penguang Manggil menyempurnakan perasmian ekspo pendidikan Yayasan Sarawak FTES di Dewan Suarah Baram. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Kerajaan Sarawak terus meletakkan pendidikan sebagai pelaburan strategik paling penting dalam membentuk masa depan negeri serta melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memacu pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Openg, pendidikan tidak lagi dilihat sekadar sebagai sektor sosial, sebaliknya menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

Beliau berkata, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak sedang bergerak ke arah sebuah negeri maju berpendapatan tinggi yang dipacu oleh ekonomi digital, tenaga hijau, industri berteknologi tinggi serta sektor-sektor strategik yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Sehubungan itu, pembangunan bakat merupakan agenda yang tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi negeri. Tanpa modal insan yang berkualiti, segala perancangan pembangunan tidak akan dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES di Dewan Suarah Marudi, hari ini.

Beliau berkata, atas komitmen tersebut, kerajaan Sarawak terus memperkukuh pelbagai inisiatif pendidikan menerusi Yayasan Sarawak, termasuk penyediaan biasiswa, pinjaman pendidikan serta penganjuran Ekspo Pendidikan FTES bagi memperluaskan akses kepada maklumat dan peluang pendidikan.

KENANGAN… Datuk Dr Penguang Manggil mengadakan sesi foto bersama warga pendidik dan tetamu yang hadir semasa Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES. Foto Jiku Juguong

Menurut beliau, program itu bukan sekadar pameran pendidikan, malah menjadi platform yang menghubungkan pelajar, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan setiap anak Sarawak memperoleh maklumat yang tepat mengenai laluan pendidikan, peluang penajaan serta prospek kerjaya yang bersesuaian dengan keperluan masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak turut memperkenalkan inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri khusus untuk anak-anak Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Katanya, langkah bersejarah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sarawak yang berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional, saintis, jurutera, pendidik, penyelidik, usahawan dan pemimpin masa depan yang akan menerajui pembangunan negeri.

“Jika kita ingin melihat Sarawak terus maju dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang, pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan hari ini ialah melabur dalam pendidikan dan pembangunan bakat anak-anak kita,” katanya.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Baram Matthew Laing Ngau, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Mohd Jamil, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum, barisan warga pendidik Daerah Baram serta ibu bapa pelajar.

Oleh Jiku Juguong