
KUCHING: Lebih banyak usaha akan dilaksanakan bagi mempromosikan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata langkah itu penting bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja teknikal dan profesional dalam bidang perakaunan serta sektor-sektor strategik yang sedang berkembang pesat di Sarawak.
“Dengan Sarawak kini bergerak ke arah ekonomi baharu seperti ekonomi hidrogen, industri aeroangkasa, pembinaan lapangan terbang baharu, dan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan akan terus meningkat.
“Pelabur juga ingin mengetahui sama ada Sarawak mampu menyediakan tenaga kerja mencukupi dan berkualiti bagi menyokong pelaburan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan insentif pengajian tahunan kepada 12 pelajar ijazah dan enam pelajar diploma dari kawasan DUN Bukit Saban, hari ini.
Uggah memaklumkan bahawa beliau turut akan menyampaikan insentif serupa kepada pelajar lain dalam satu majlis di Spaoh, esok.
Menurut beliau, perkembangan pesat ekonomi negeri akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, justeru keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM melalui tawaran pendidikan tinggi percuma di institusi pengajian tinggi tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pelajar agar meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.
“Kita sudah pun mempunyai beberapa individu dari kawasan ini yang berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Jika mereka boleh berjaya, saya yakin ramai lagi pelajar di sini juga mampu melakukannya,” katanya sambil menegaskan bahawa pendidikan yang baik membuka peluang kepada kehidupan yang lebih berkualiti dan pekerjaan yang lebih baik.
Menyentuh cadangan penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak bagi Bahagian Betong, Uggah melahirkan rasa syukur kerana Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah memberikan persetujuan.
“Sukatan pelajaran di sekolah ini akan berbeza daripada sekolah kebangsaan biasa, dengan penekanan khusus terhadap mata pelajaran Matematik dan Sains yang berkait rapat dengan pendidikan STEM.
“Saya berharap pelajar kita bersedia dan bersemangat untuk menguasai kedua-dua subjek ini agar layak untuk diterima masuk ke sekolah tersebut,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman