Kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai kain putih yang bersih dan suci daripada sebarang kekotoran atau kerosakan. Mereka ini masih dalam usia untuk mempelajari perihal kehidupan sebelum menginjak alam dewasa.
Permulaan yang baik untuk anak-anak adalah dengan asuhan, didikan dan bimbingan yang berkualiti merangkumi kecergasan jasmani, kematangan emosi, kemahiran sosial, perkembangan bahasa, kecerdasan intelek dan kesejahteraan rohani.
Pendidikan awal kanak-kanak bukanlah satu tugas yang mudah dan maklumat-maklumat baharu kerap timbul dan membuatkan ibu bapa, guru dan pengasuh berasa ragu dengan cara pendidikan yang betul.
Oleh itu, apa sahaja yang diajarkan oleh ibu bapa kepada mereka akan menjadi satu aspek dalam pembentukan diri mereka.
Kini, kebanyakan ibu bapa hanya menekankan tentang kepentingan aspek pelajaran semata-mata kepada anak mereka sedangkan terdapat banyak lagi aspek yang membantu pembentukan diri anak-anak misalnya aspek sukan, aspek kemahiran mahupun aspek seni kreatif.
Pendidikan seni dan kreatif adalah sangat penting dalam pembentukan diri kanak-kanak kerana aspek ini akan melahirkan sikap kreatif dalam diri mereka sejak awal lagi.
Objektif utama dalam didikan seni dan kreatif bagi pendidikan awal kanak-kanak adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan dalam menyelesaikan masalah, mampu membuat penilaian dan bijak dalam membuat keputusan.
Didikan seni dan kreatif ini juga penting bagi merangsang daya imaginasi, meningkatkan prestasi akademik dan dapat mengeratkan hubungan mereka dengan ibu bapa, penjaga dan guru.
Pendidikan seni dan kreatif penting dalam perkembangan awal kanak-kanak adalah kerana seni dan kreatif sangat penting dalam pembentukan diri anak-anak kerana aspek ini akan melahirkan sikap kreatif dalam diri mereka selain merangsang perkembangan otak kanak-kanak.
Secara semulajadi, sikap kreatif sudah wujud dalam diri setiap kanak-kanak lagi. Namun, dengan dorongan dan didikan ibu bapa, pengasuh atau guru sikap ini akan lebih bercambah lalu menjadikan anak-anak lebih yakin dan selesa untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum.
Selain itu, kemahiran motor halus anak anda dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah praktis yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka.
Dalam pada itu, dengan praktis ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekali gus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan anak anda akan lebih cepat dan pandai menulis kelak.
Melalui aktiviti seni dan kreatif seperti ini juga mampu mendorong kanak-kanak itu meluahkan perasaan mereka melalui seni bukan itu sahaja ia juga dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak mereka.
Anak-anak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui seni agar mereka mempunyai satu medium alternative.
Malah Ibu bapa atau guru-guru dapat mengesan perasaan anak-anak ini dengan melihat kepada penggunaan warna, corak atau bentuk lukisan mereka lalu memudahkan ibu bapa atau guru-guru membaca perasaan anak mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya.
Ibu bapa boleh jadikan aktiviti seni dan kreatif seperti melukis sebagai satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga. Dengan aktiviti seperti ini, ibu bapa bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak, tetapi hasil lukisan tersebut juga boleh dijadikan kenangan untuk masa hadapan.
Tidak semua kanak-kanak boleh belajar dengan cara yang formal jadi dengan adanya didikan seni dan kreatif ini ia menjadi alat ganti untuk mengajar.
Ini adalah kerana kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui visual. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan cara ini untuk proses pembelajaran anak-anak lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan visual seperti lukisan binatang dan makanan untuk mengajar anak nama binatang serta nama makanan,” katanya.
Bagaimanapun, didikan seni dan kreatif secara tidak formal tidak dapat dijalankan seperti biasa lagi sejak adanya penularan wabak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP dan proses pengajaran dan pembelajaran ditukar kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Kini guru-guru menggunakan platform digital berkenaan setelah Pusat Asuhan Kanak-Kanak diarahkan tutup susulan daripada perintah PKP.
Dengan adanya aplikasi Zoom sebagai platform pengajaran dalam talian ia membolehkan para guru mendekati pelajar mereka.
Jika dilihat tahap keberkesanannya pula hanya ala kadar kerana kanak-kanak ini lebih gemar dengan kelas bersemuka jika dibandingkan pendidikan dari rumah malah terdapat juga segelintir daripada mereka yang tidak fokus.
“Namun begitu, kebanyakan para guru bertekad untuk menggunakan kaedah ini untuk terus mendidik kanak-kanak di tadika saya ini.
Justeru itu, didikan seni dan kreatif sangat penting dalam pembentukan fizikal dan perkembangan emosi anak anda pada hari ini.
Seni bukan sahaja dapat membantu dari aspek pembangunan emosi atau rohani, seni juga dapat membantu dalam perkembangan fizikal kanak-kanak yang amat diperlukan seperti kemahiran menulis dewasa kelak.
Oleh itu, ibu bapa haruslah menekankan kepentingan didikan seni dan kreatif ini seawal usia anak lagi.
Oleh Jeakqleyn Yacho