
ENGKILILI: Pendidikan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai laluan menuju kecemerlangan akademik semata-mata tetapi lebih daripada itu, ia adalah proses menyeluruh dalam membentuk jati diri, nilai moral dan hala tuju masa depan seseorang.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata hari ini, dalam dunia yang semakin mencabar dan kompleks, kejayaan seseorang tidak lagi dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
“Nilai seperti disiplin, empati, kerja berpasukan, kepimpinan, serta keupayaan menyelesaikan masalah menjadi antara tunjang utama dalam membentuk individu yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
“Pendidikan yang menyeluruh merangkumi pembangunan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ia perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan, bukan hanya terhad dalam bilik darjah atau ketika musim peperiksaan sahaja. Guru, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penetapan Sasaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 serta Permuafakatan Akademik Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili, hari ini.
Roy turut menyatakan sokongan terhadap usaha sekolah dan ibu bapa dalam memperkukuh hala tuju akademik pelajar sambil menggesa agar semua pihak terus berganding bahu membina komuniti berilmu dan berdaya saing.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada 20 pelajar cemerlang SPM 2024 dan 13 pelajar cemerlang STPM 2024 atas pencapaian membanggakan mereka.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar, Roy turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Engkilili.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Menengah dan Tingkatan Enam), Lester Surai, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Engkilili, Wilson Ranggau dan Yang Dipertua PIBG SMK Engkilili, Kaunselor Semiji Anting.
Oleh Adi Safarman