
KUCHING: Pelaksanaan dan pelancaran rasmi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula 2026 disifatkan sebagai satu detik bersejarah dan titik perubahan besar dalam usaha Sarawak menuju status negeri maju, berpendapatan tinggi serta dipacu ekonomi berasaskan ilmu.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok berkata, pengenalan FTES oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bukan sekadar menawarkan pendidikan percuma, malah merupakan dasar legasi pembinaan negara Sarawak yang pertama seumpamanya bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ASEAN.
Beliau yang merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan berkata, inisiatif berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen berani kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan bertaraf dunia dengan menyingkirkan kekangan kewangan sebagai halangan utama kepada pendidikan tinggi.
“FTES memastikan akses ke pendidikan tinggi ditentukan oleh merit dan keupayaan, bukan latar belakang kewangan, sekali gus memberi peluang saksama kepada setiap anak Sarawak untuk berjaya,” katanya.
Di bawah pelaksanaan FTES, semua anak Sarawak yang layak dan mengikuti program ijazah sarjana muda yang diluluskan di institusi milik kerajaan Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS akan menikmati yuran pengajian universiti secara percuma sepenuhnya.
Tambahnya, pelajar daripada pelbagai latar pendidikan termasuk A-Level atau Matrikulasi, UEC serta GCSE/CAIE turut diberi peluang memohon secara terus ke 64 program ijazah popular tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).
Pada masa ini, seramai 4,693 pelajar Sarawak yang sedang mengikuti pengajian di institusi berkenaan layak menikmati FTES, manakala semua pengambilan baharu pada masa hadapan turut dilindungi skim tersebut.
Walaupun pendidikan merupakan bidang kuasa Persekutuan, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM665 juta di bawah Belanjawan Negeri bagi sektor pendidikan, termasuk RM250 juta khusus untuk pelaksanaan FTES, yang dijangka memberi manfaat kepada 8,000 hingga 9,000 anak Sarawak dengan yuran pengajian sifar.
Jelas beliau, impak kewangan kepada keluarga amat besar memandangkan purata yuran pengajian di universiti milik kerajaan negeri mencecah RM35,000 setahun, sekali gus menjimatkan lebih RM100,000 bagi tempoh pengajian tiga tahun.
“Jika digabungkan dengan kos sara hidup di Sarawak, jumlah penjimatan boleh mencecah sehingga RM200,000 bagi seorang anak. Berbanding kos pendidikan di luar negara yang boleh mencecah RM450,000 hingga RM550,000, skim ini benar-benar mengubah kehidupan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi menghantar tiga orang anak melanjutkan pelajaran ke United Kingdom yang memerlukan perbelanjaan amat besar, dan menyifatkan FTES sebagai dasar yang mampu mengubah landskap pendidikan serta kesejahteraan keluarga Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada belia Sarawak akan tercicir kerana mereka yang tidak mengikuti program ijazah akan ditawarkan pendidikan vokasional dan kemahiran secara percuma di politeknik serta kolej latihan milik kerajaan negeri bagi menjamin kebolehpasaran dan pertumbuhan inklusif.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Premier Sarawak atas kepimpinan dan visi jauh ke hadapan dalam memperkenalkan FTES, yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang terhadap keluarga, pembangunan bakat serta masa depan pembinaan Sarawak.