Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pendidikan percuma pelaburan masa depan Sarawak – Premier Sarawak
  • PENDIDIKAN

Pendidikan percuma pelaburan masa depan Sarawak – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
TAHNIAH…..Premier Sarawak merangkap Pro Canselor UTS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan Majlis Konvokesyen Ke-10 UTS di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini

SIBU: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang bermula pada tahun depan adalah komitmen kerajaan Sarawak menjadikan pendidikan sebagai pelaburan strategik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing menjelang 2030.

Premier Sarawak yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, skim berkenaan akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian semua pelajar Sarawak yang layak tanpa mengira latar belakang sosial atau agama, yang menuntut di institusi milik kerajaan Sarawak seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Curtin University Malaysia, i-CATS College dan CENTEXS.

“Selain pembelajaran percuma, pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah turut akan menerima elaun sara hidup bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-10 UTS di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Menurutnya, skim pendidikan percuma ini akan memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, sekali gus memberi peluang lebih besar kepada anak muda Sarawak, terutamanya dari kawasan luar bandar, untuk melanjutkan pelajaran tanpa beban kewangan.

“Dengan pendidikan percuma, kita bukan sahaja membantu rakyat, tetapi melabur untuk masa depan negeri. Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja bertaraf dunia yang mampu menyokong pertumbuhan dalam bidang teknologi, kesihatan, kejuruteraan dan transformasi digital,” jelas beliau.

Abang Johari turut menegaskan bahawa pelaksanaan skim itu bukan sekadar langkah kebajikan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi membina masyarakat berilmu dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi pemacu ekonomi masa hadapan.

“Graduan tidak akan terikat dengan negeri ini. Mereka boleh menimba pengalaman di luar Sarawak dan kembali apabila bersedia membawa pulang pengetahuan serta perspektif global yang akan memperkukuhkan pembangunan negeri,” ujarnya.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan digital bagi memastikan pelajar di kawasan bandar serta luar bandar menikmati akses sama rata kepada pembelajaran berasaskan teknologi.

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan Abang Johari menyampaikan ucapan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian, sambil menggesa agar mereka terus membawa nilai integriti, semangat juang dan jati diri Sarawak ke mana sahaja mereka melangkah.

“Tema konvokesyen tahun ini, ‘Global Impact, Local Identity’ mencerminkan aspirasi kita untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu memberi impak di peringkat antarabangsa, tetapi tetap berpaksikan nilai dan budaya tempatan,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UTS, Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Pendidikan bentuk insan berilmu, berakhlak dan beradab – Chee Kadir
Next: Tanggungjawab didik anak tidak boleh diserah kepada sekolah semata-mata – Tiong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.