
SIMANGGANG: Pelajar Sarawak termasuk di kawasan pedalaman perlu memanfaatkan peluang yang disediakan Sarawak dengan memohon pengajian di bawah universiti milik negeri ini sejajar dengan dasar pendidikan percuma yang diperkenalkan tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata pelajar pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan dijangka mendapat manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma yang dimulakan oleh kerajaan Sarawak pada 2026.
Beliau berkata antara institusi tinggi milik kerajaan negeri adalah Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
“Hari ini, saya berpeluang memberitahu penduduk di rumah panjang mengenai inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sering diperkatakan iaitu memperkasakan modal insan khas untuk rakyat Sarawak iaitu yuran pendidikan percuma pada tahun depan di empat universiti tempatan milik kerajaan Sarawak.
“Rebutlah peluang ini yang disediakan oleh kerajaan Sarawak khas kepada anak Sarawak yang mempunyai status ‘K’ pada kad pengenalan dan bidang pengajian menjurus kepada bidang teknikal dan beberapa bidang pengurusan seperti akauntan dan jurusan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ngiling Tikai anjuran Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Evelyn, Kampung Ibol Sungai Raya dekat sini hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut memuji penganjur kerana masih mengamalkan sambutan tradisi dengan persembahan kebudayaan tarian ‘Ngajat Ngalu Pengabang’ walaupun diasak pengaruh media sosial.
“Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama daripada ahli parti dalam penganjuran majlis. Peluang keramaian ini sebagai tapak untuk mengeratkan ikatan persaudaraan sesama penduduk dan memulakan tekad baru mencapai taraf kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Pada majlis tersebut Harden telah meluluskan peruntukkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Evelyn Kampung Ibol Sungai Raya dan RM5,000 kepada biro wanita digunakan untuk membiaya aktiviti JKKK dan digunakan untuk membeli perkakas dapur.
Pada pengisian majlis ‘Gawai Ngiling Tikai’ tersebut dipersembahkan tradisi kebudayaan ‘Ngajat Ngalu Pengabang’ dan bagi pihak penganjur bersama Wanita SUPP Cawangan Simanggang telah menyumbangkan 24 bakul makanan kepada penduduk Rumah Evelyn.
Sumbangan kelengkapan untuk JKKK Rumah Evelyn berupa 50 kerusi plastik dan dua meja lipat juga telah disampaikan oleh Harden selaku Pengerusi mewakili SUPP Cawangan Simanggang.
Oleh Adi Safarman