
SIMANGGANG: Pendidikan merupakan satu cabang penting terutamanya untuk kawasan luar bandar, tanpa pendidikan kawasan luar bandar akan terus ketinggalan jika dibandingkan dengan kawasan bandar.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, berkata sering kali membangkitkan isu berkaitan pendidikan untuk anak-anak terutama di kawasan Batang Lupar yang merupakan satu kawasan dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.
“Oleh sebab itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat menekankan hal pendidikan, terutamanya dasar pendidikan percuma di institut-institut pendidikan milik kerajaan Sarawak seperti Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan sebagainya.
“Ia adalah untuk kesinambungan pendidikan anak-anak Sarawak.
“Kalau kita di kawasan Sri Aman khasnya tidak mengambil kesempatan serta merebut peluang masuk ke institusi ini amatlah rugi kerana pendidikan percuma ini disediakan bermula tahun depan,” katanya.
Mohamad Shafizan Kepli berkata demikian berucap pada program Jom Berambeh Raya 2025 bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang di sini, malam tadi.
Katanya, banyak lagi bantuan-bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkenaan dengan pendidikan.
Antaranya, seperti bantuan kewangan khas untuk pelajar yang berasal dari Sarawak yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 setiap pelajar.
“Saya boleh jamin, bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak ini tidak terdapat di negeri-negeri lain dan hanya negeri Sarawak sahaja berbuat demikian.
“Begitu juga bantuan laptop, baucer buku, bantuan melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
“Perkembangan terbaharu yang diumumkan oleh Premier baru-baru ini iaitu pembinaan Sekolah Antarabangsa Islam pertama di negeri ini yang dijangka siap pada penghujung 2027.
“Jadi saya mahu ibu bapa di Sri Aman khasnya mengambil peluang untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Antarabangsa Islam bagi mengubah kehidupan keluarga, masyarakat serta kampung kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jom Berambeh Raya, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, berkata program tersebut merupakan gabungan enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu Kampung Masjid Baru, Kampung Haji Undom, Kampung Melayu Sekait, Kampung Datu, Kampung Tanah Baru Sembau dan Kampung Tanjung Engkabang.
“Enam JKKK dari kawasan Ladong ini telah bertungkus-lumus selama dua hari dalam membuat persediaan untuk menjayakan majlis yang diadakan pada hari ini (malam tadi).
“Usaha tersebut adalah cara untuk kita saling mendekati penduduk-penduduk kampung bersama pemimpin masyarakat setempat, semoga dengan usaha ini dapat merapatkan silaturahim sesama sendiri agar hubungan dibina selama ini lebih erat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Mohamad Shafizan turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Hilir Simanggang, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Temenggung Mohd Shah Achang, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga Suhaidi Los dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Linga Sapiah Drahman.
Oleh Adi Safarman