PENDIDIKAN orang dewasa memerlukan perancangan yang strategik dan sistematik.
SALAH satu masalah berlaku dalam kalangan penduduk Sarawak semasa era penjajahan British adalah buta huruf dalam kalangan penduduk Sarawak. Sebenarnya hal ini telah diwarisi sejak zaman Brooke.
Perkembangan pendidikan yang terhad pada zaman Brooke telah menyebabkan kesan ketara dalam bilangan buta huruf yang besar dalam kalangan penduduk Sarawak. Menurut statistik tahun 1947, hanya 65,306 penduduk Sarawak berumur 5 tahun ke atas yang kenal huruf.
Jikalau mengikut peratusannya, bilangan ini adalah 16 peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak yang berumur 5 tahun ke atas. Jumlah 16 peratus ini yang kenal huruf sekurang-kurangnya boleh membaca dan menulis perkataan yang mudah dari pelbagai bahasa.
Masalah
Usaha untuk membaiki keadaan ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan British. Fokus utama dilakukan oleh kerajaan British ini ke atas penduduk luar bandar.
Kawasan luar bandar memang menghadapi kekurangan sekolah. Hanya golongan mubaligh Kristian sahaja yang menjalankan tugas pendidikan ini. Namun, usaha mereka tidak cukup kerana kekurangan kakitangan dan kewangan.
Atas sebab itulah penduduk luar bandar, khususnya penduduk Iban, mengalami kadar buta huruf tinggi. Dalam statistik tahun 1947 menunjukkan bahawa orang Iban ialah penduduk yang paling kurang kenal huruf, iaitu dalam lingkungan dua peratus.
Selepas itu, orang Bidayuh yang hanya mempunyai kadar kenal huruf sekitar tujuh peratus. Orang Melanau pula sekitar sembilan peratus. Manakala orang Melayu ialah kaum yang teramai kenal huruf tetapi hanya 15 peratus. Atas sebab ini, maka usaha telah dibuat dengan memfokuskan usaha pendidikan kenal huruf dalam kalangan orang dewasa.
Usaha Awal
Antara usaha untuk memperkasakan hal ini termasuklah dengan memperkenalkan projek berkaitan dengan pendidikan golongan dewasa yang memberi fokus di kawasan pedalaman, iaitu di Bahagian Kedua dan Ketiga. Usaha awal dilakukan ke atas kaum Iban di hulu Sungai Paku, Bahagian Kedua. Namun, usaha ini tidak begitu berjaya mengatasi masalah kenal huruf.
Selepas itu projek kenal huruf ini diperluaskan di Stumbin, Batang Lupar untuk orang Iban. Projek kenal huruf ini juga dijalankan di Muara Tuang dan Semera untuk orang Melayu. Kedua-dua projek ini juga hanya mencapai kejayaan minimum.
Jabatan Pendidikan diberi tugas besar untuk mengatasi masalah buta huruf ini dalam kalangan orang dewasa. Jabatan ini melihat usaha awal mereka ini tidak begitu berjaya. Oleh sebab itu, mereka mula menyusun strategi baharu dengan menekankan usaha pendidikan kenal huruf ini harus bersama-sama dengan program pemantapan kehidupan masyarakat.
Skim Pembangunan
Idea ini telah diterjemahkan dalam salah satu projek dikenali sebagai Kanowit Rural Improvement School (RIS). Sekolah ini telah dibuka secara rasmi pada Mei 1948. Pendanaan projek ini ialah dari tabung Colonial Development and Welfare. Peruntukan untuk projek ini bernilai $275,194.
Projek ini melibatkan latihan kepada pesertanya, dan diharap akan menjadi pemimpin pembangunan kepada masyarakatnya. Menerusi sekolah yang didirikan ini, orang dewasa yang dipilih, termasuk pasangannya, akan menjalani kursus dua tahun.
Mereka yang menghadiri sekolah ini pula akan diajar mengenal huruf menerusi bahasa ibunda mereka, asas kira-kira, pengetahuan amali dalam pertanian, penternakan haiwan, memasak, asas kesihatan dan penjagaan bayi. Pendidikan di sekolah ini akan membantu meningkatkan kemahiran mereka di samping mengenal huruf.
Dalam hal ini, seorang pegawai petanian dilantik sebagai Pengetua sekolah tersebut. Beliau juga harus fasih dalam bahasa tempatan dan tahu adat resam penduduk tempatan. Seorang jururawat terlatih akan membantu beliau mengendalikan sekolah tersebut.
Jururawat ini pula dibantu oleh lima orang kakitangan tempatan. Bagi memperkuat latihan di sekolah ini, maka beberapa orang jurulatih akan datang secara berkala.
Kemasukan
Bangunan sekolah ini pula berbentuk sebuah rumah panjang yang luas dengan kemudahan bilik darjah, dewan makan, kemudahan-kemudahan rekreasi dan bilik ubat. Di sekolah ini juga disediakan kedai, tempat penginapan kakitangan dan pelajar.
Sekolah ini tidak mengenakan yuran kemasukan dan yuran tahunan. Seramai 25 orang pasangan suami isteri bersama anak mereka telah dipilih di seluruh Sarawak untuk mengikuti program di sekolah tersebut.
Peserta di sekolah ini menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan secara pecuma seperti penginapan, tambang dan perjalanan. Lebih menariknya lagi, mereka ini diberikan elaun bulanan untuk membiayai kehidupan mereka di sekolah tersebut.
Penutupan
Sekolah ini telah berjaya mengeluarkan pelajar yang mampu berdikari dalam sektor pertanian. Namun, ada juga yang tidak meneruskan latihan yang dibekalkan kepada mereka. Mereka ini lebih suka bekerja sebagai kuli di bawah syarikat swasta.
Walaupun sekolah ini menampakkan sedikit kejayaan untuk mendidik pelajarnya, tetapi ia telah ditutup pada April 1957. Penutupan sekolah ini disebabkan masalah kakitangan, dan pusat latihan pertanian telah dipindahkan ke Tarat.
Kelas Orang Dewasa
RIS ini adalah salah satu usaha mempertingkatkan jumlah kenal huruf di Sarawak. Jabatan Pendidikan mempunyai beberapa lagi langkah untuk memperkasakan pendidikan dalam kalangan orang dewasa.
Langkah ini termasuklah melatih kakitangan kerajaan yang tidak menepati kehendak standard perkhidamatan awam. Kelas-kelas ini mampu melahirkan kakitangan yang berkelayakan apabila pada tahun 1948, seramai 46 pelajar lulus tingkatan 3.
Majlis Pendidikan Dewasa telah dibentuk pada tahun 1954. Majlis ini telah memperkenalkan kelas petang bagi orang dewasa untuk membaiki pendidikan dan kefasihan bahasa mereka. Pada awalnya, kelas ini hanya dilaksanakan di Kuching, tetapi telah diperluaskan ke Sibu pada tahun 1955. Program yang digerakkan oleh majlis ini mendapat sambutan baik tetapi programnya hanya terhad di kawasan bandar dan beberapa pekan kecil.
Hasil
Usaha-usaha yang dilihat tadi mencerminkan bahawa kerajaan British tidak mempunyai perancangan jelas untuk mencapai matlamatnya untuk membasmi buta huruf. Program yang dijalankan ini bercampur-campur pula dengan program peningkatan taraf hidup.
Manakala kelas untuk orang dewasa pula tidak fokus kepada pembasmian buta huruf. Atas sebab ini, maka pencapaian program kerajaan tidak mencapai kejayaan yang maksimum. Hanya berlaku sedikit sahaja peningkatan kenal huruf tersebut.
Sebagai contohnya, bancian pada tahun 1960 menunjukkan kumpulan berumur 24 tahun ke atas dalam kalangan orang Iban yang kenal huruf meningkat kepada 2.5 peratus sahaja, manakala kaum-kaum bumiputera lain pula seperti Melayu kepada 16.3 peratus, Melanau kepada 12.3 peratus dan Bidayuh pula kepada 3.4 peratus.
Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.