Pendidikan, kesedaran langkah bendung budaya buli

Facebook
WhatsApp
PENERANGAN… Peguam Boston Ho Teck Howe menerangkan pelbagai aspek berkaitan buli dan buli siber pada Ceramah Kesedaran Antibuli dan Antibuli Siber anjuran JCI Mandarin Sibu di SMK Chung Hua, Sibu.

SIBU: Penganjuran Ceramah Kesedaran Antibuli dan Antibuli Siber merupakan antara inisiatif Junior Chamber International (JCI) Mandarin Sibu dalam membentuk generasi muda yang berilmu, beretika dan bertanggungjawab.

Presiden JCI Mandarin Sibu 2026, Simon Tiong Yong Yee, berkata pelajar perlu memahami bahawa perbuatan buli, keganasan, ugutan atau jenayah siber boleh membawa kepada tindakan undang-undang serta memberi kesan jangka panjang terhadap masa depan mereka.

“Kes buli dan buli siber semakin membimbangkan dalam era digital ketika ini. Melalui program kesedaran seperti ini, kami berharap pelajar lebih memahami hak dan tanggungjawab mereka, mengetahui batasan undang-undang serta berani mengambil tindakan yang betul apabila berhadapan dengan situasi buli,” katanya pada program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, di sini.

Beliau berkata, pendidikan dan kesedaran sejak di bangku sekolah merupakan antara langkah paling berkesan dalam usaha membanteras budaya buli.

“Dengan meningkatkan kesedaran sejak di bangku sekolah, pelajar dapat membina sikap saling menghormati, berempati serta menjadi pengguna media sosial yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Program yang berlangsung dari 5.30 petang hingga 6.30 petang itu menghimpunkan ratusan pelajar yang mengikuti sesi perkongsian bersama dua penceramah jemputan, Peguam Boston Ho Teck Howe dan Peguam Tevaasiny Vijayakumar.

Sepanjang sesi berkenaan, kedua-dua penceramah menerangkan pelbagai aspek berkaitan buli dan buli siber, termasuk jenis buli yang sering berlaku, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah serta alam maya, selain tanggungjawab undang-undang bagi kanak-kanak dan remaja.

Turut disentuh ialah umur tanggungjawab jenayah menurut undang-undang Malaysia serta implikasi undang-undang terhadap perbuatan mengugut, menyebarkan fitnah, mendedahkan maklumat peribadi (doxxing), menghina dan melakukan gangguan dalam talian.

Para pelajar turut diberi pemahaman bahawa status sebagai individu berumur di bawah 18 tahun tidak bermakna seseorang itu terlepas daripada tindakan undang-undang.

Sebarang perlakuan buli, keganasan, ugutan atau jenayah siber boleh membawa kepada tindakan mahkamah serta memberi kesan jangka panjang terhadap masa depan seseorang.

Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada langkah yang perlu diambil sekiranya mereka menjadi mangsa atau menyaksikan kejadian buli.

JCI Mandarin Sibu turut merakamkan penghargaan kepada pihak SMK Chung Hua atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan, selain kepada kedua-dua penceramah yang berkongsi kepakaran secara sukarela.

Oleh Akun Giman