Pendidikan karakter perlu bermula dari sekolah rendah

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming berucap pada Program Pembinaan Karakter dan Majlis Perasmian Pintu Pagar SJK (C) Sibiew di Dewan SJK Sebiew, Bintulu, hari ini.

BINTULU: Pendidikan karakter perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi membentuk generasi yang mampu mengimbangi kecemerlangan akademik dengan nilai moral dan tanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pembentukan sahsiah murid bukan hanya tanggungjawab sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa untuk menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak.

Menurutnya, murid bukan sahaja perlu dibimbing untuk mencapai keputusan akademik yang baik, tetapi juga diajar menghormati guru, menyayangi ibu bapa, membantu rakan serta berani mengakui kesilapan.

“Pendidikan karakter mungkin bukan satu mata pelajaran yang diuji dalam peperiksaan, tetapi mungkin menjadi antara pelajaran yang paling penting dalam kehidupan seorang anak,” katanya.

JOHNNY Pang Leong Ming dan tetamu jemputan lain memotong riben sebagai simbolik perasmian Pintu Pagar SJK (C) Sibiew di Bintulu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembinaan Karakter dan Majlis Perasmian Pintu Pagar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sibiew di Dewan SJK Sebiew di sini, hari ini.

Johnny Pang berkata, kejayaan seseorang anak pada masa hadapan bukan sahaja bergantung pada pengetahuan dan kebolehan, tetapi turut dipengaruhi oleh integriti, tanggungjawab, kebijaksanaan, kesopanan serta semangat untuk tidak berputus asa ketika berdepan dengan kesukaran.

Katanya, sekolah berperanan memberikan sokongan dan bimbingan, manakala keluarga menyediakan kasih sayang, sokongan serta teladan dalam proses perkembangan anak-anak.

“Belajar menjadi insan yang baik sebelum belajar menjadi insan yang berjaya,” ujarnya.

JOHNNY Pang Leong Ming merakamkan gambar bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan murid selepas Program Pembinaan Karakter dan Majlis Perasmian Pintu Pagar SJK (C) Sibiew di Dewan SJK Sebiew, Bintulu, hari ini.

Dalam pada itu, Johnny Pang berkata, peningkatan kemudahan sekolah juga penting bagi memastikan murid dapat belajar dalam suasana yang lebih selamat dan selesa.

Beliau berkata, pintu pagar baharu SJK (C) Sibiew yang dirasmikan hari ini bukan sekadar kemudahan fizikal, malah menjadi simbol perjalanan murid dalam menimba ilmu sebelum melangkah ke dunia yang lebih luas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, lembaga pengurusan, alumni, guru dan ibu bapa yang sentiasa menyokong pembangunan sekolah.

Oleh Carolyne Utih