Pendidikan karakter perlu bentuk generasi berani bersuara, kritis dan beradab – Fadhlina

Facebook
WhatsApp
Foto Fb Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR: Pendidikan karakter perlu memberi ruang kepada generasi muda untuk berani bersuara, berfikiran kritis dan kekal beradab ketika berbeza pandangan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina berkata ketika menghadiri Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan, beliau melihat generasi muda belajar menyusun pemikiran, menyatakan pendirian, mendengar pandangan yang berbeza dan mempertahankan hujah.

“Inilah antara pendidikan karakter yang mahu kita suburkan. Pendidikan karakter bukan sekadar mendidik anak-anak menjadi baik. Kita mahu mereka berani bersuara, kritis berfikir dan tetap beradab ketika berbeza pandangan,” katanya.

Beliau berkata justeru, usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu bergerak dengan pendidikan karakter, bukan sekadar meminta generasi muda mencinta bahasa malah juga menyediakan ruang untuk generasi muda menggunakannya.

Bahasa akan menjadi kuat apabila generasi yang mewarisinya merasakan bahasa itu cukup besar untuk membawa pemikiran mereka, katanya.

“Tugas kita bukan menentukan apa yang harus mereka katakan. Tugas kita ialah memastikan apabila tiba giliran mereka untuk bersuara, mereka punya ilmu untuk berhujah dan adab untuk mendengar,” katanya.

Fadhlina berkata negara yang matang bukan dibina oleh generasi yang semuanya bersetuju sebaliknya dibina oleh generasi yang tahu cara membeza. – Bernama